Tindakan Zuraida Lompat Parti Beri Tamparan Hebat Kepada PPBM – Azhari

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan tindakan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang melompat parti menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) memberi tamparan hebat kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau malah berkata situasi ini juga memberi makna bahawa Akta Anti Lompat Parti amat diperlukan sebagai pelindung kepada sistem demokrasi dan demi kestabilan negara.

“Sekarang ini baru PPBM rasa bagaimana parti lain rasa apabila ahli Parlimen mereka lompat ke parti lain.

“Saya juga bersetuju dengan kenyataan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Akta Anti Lompat Parti perlu disegerakan.

“Kita perlu elak perkara-perkara sebegini berlaku agar kelak negara dapat ditadbir dengan lebih stabil,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Azhari turut menempelak tindakan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berkata portfolio Kementerian Perladangan Dan Komoditi akan diisi oleh kepimpinan daripada parti itu.

“Tuntutan jawatan Kabinet tersebut yang dituntut oleh PPBM adalah mengarut kerana pelantikan adalah kuasa Perdana Menteri.

“Tiada perjanjian sebelum ini bahawa jawatan tersebut adalah hak milik penuh PPBM jika ahli Parlimen mereka lompat ke parti lain,” ujar beliau.

Untuk rekod, Zuraida yang sebelum ini pernah keluar dari PKR menyertai PPBM selepas Langkah Sheraton dan kini mengumumkan menyertai PBM baru-baru ini.

Zuraida juga pada yang sama memaklumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai perkara tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.