PSSC Rancang Kemuka Hala Tuju Komprehensif Sistem Keadilan Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita Dan Kanak-Kanak Dan Pembangunan Sosial (PSCC) Parlimen merancang untuk mengemukakan satu set cadangan atau hala tuju komprehensif mengenai mangsa dan saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan.

Pengerusinya Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan saranan tersebut adalah hasil daripada lawatan empat hari jawatankuasa itu ke London yang berakhir Khamis (26 Mei) lepas, bertujuan memberi input berharga kepada agensi-agensi kerajaan.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata kertas cadangan itu akan menekankan pada peranan konstruktif yang boleh dimainkan oleh agensi-agensi dan menangani polisi multiagensi dan bidang kuasa bertindih dalam sistem sokongan mangsa, serta menggalakkan dan meningkatkan penglibatan akar umbi.

“Kami sebagai pengamal undang-undang hanyalah sebahagian daripada sistem dan kami memerlukan input dan cadangan daripada semua agensi. Dengan input daripada mereka, PSSC boleh menyelaraskan dan merangka satu hala tuju dan membuat cadangan untuk menambah baik sistem tersebut.

“UK mempunyai sistem sokongan mangsa dan saksi kanak-kanak yang baik bagi sepanjang proses (perundangan). Ia bukan sahaja tentang kadar sabitan, sebaliknya apabila insiden sebegini terjadi kepada mana-mana kanak-kanak, mereka tahu bahawa sistem itu ada untuk menyokong mereka,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, objektif utama lawatan itu ialah mempelajari mengenai pelbagai khidmat sokongan mangsa serta kerjasama antara agensi, pembaharuan undang-undang, polisi melindungi kanak-kanak selain kaedah dan inisiatif lain berkaitan kanak-kanak dan mangsa.

Antara mesyuarat penting dan aktiviti yang diadakan dalam lawatan itu adalah libat urus bersama Persatuan Parlimen Komanwel, Yayasan Demokrasi Westminster, Suruhanjaya Kesaksamaan dan Hak Asasi Manusia (EHRC), Agensi Jenayah Kebangsaan dan Yayasan Pengawasan Internet.

Selain Azalina, delegasi Malaysia turut terdiri daripada Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman, Alice Lau Kiong Yieng (Lanang), Hannah Yeoh (Segambut), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Lembah Pantai) and Fuziah Salleh (Kuantan).

Azalina berkata PSSC mengakui terdapat keperluan untuk menyelaras dan memperkemaskan undang-undang sedia ada negara serta penggunaan definisi yang jelas dalam mentafsir undang-undang yang melibatkan kanak-kanak, memandangkan percanggahan antara badan perundangan boleh menyebabkan keputusan yang tidak konsisten terhadap mangsa dan pelaku jenayah.

“PSSC berhasrat untuk meneruskan kajian berkenaan isu ini dan memperluaskan kerjasama dengan institusi dan agensi lain yang berkaitan, termasuk Majlis Peguam, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perangkaan Malaysia dan pihak berkepentingan lain,” menurut kenyataan itu.

Delegasi turut mengkaji langkah-langkah pembaharuan bagi menambah baik pengalaman mangsa dan saksi kanak-kanak dalam proses keadilan jenayah serta amalan baik berkaitan bekerja dengan kanak-kanak yang berdepan konflik undang-undang.

Turut dikaji ialah langkah pencegahan pelanggaran undang-undang dan pelanggaran undang-undang berulang, menerusi pelbagai kaedah termasuk penglibatan komuniti.

“Ia adalah perkara yang sangat penting. Terdapat banyak aspek yang boleh kita pelajari dan menambah baik sistem kita, termasuk fungsi perundangan, kerajaan dan badan kehakiman. PSSC berhasrat untuk memanjangkan cadangannya kepada semua kementerian berkaitan,” tambah Ahmad Fahmi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.