UMNO Terus Relevan, Kukuhkan Parti Demi Menangi PRU-15 – Arshad
KOTA KINABALU, 26 Mei – Usia UMNO yang melewati 76 tahun adalah bukti relevannya parti dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara sekalipun sejak empat tahun ini kehilangan tampuk kuasa sebagai kerajaan Pusat.
Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Marudu, Arshad Mohd Yusof menggesa agar semua pihak akan dapat mengembalikan kejayaan UMNO dengan mengelakkan sebarang kekeruhan atau pertelagahan pendapat malah diselesaikan secara musyawarah tanpa membabitkan kepentingan peribadi.
Jelasnya, semangat setiakawan dan kerjasama erat dalam kalangan pemimpin dan sokongan kukuh ahli-ahlinya tentunya akan dapat memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) 15.
“Kita jadikan UMNO yang ke 76 ini untuk akar umbi dan pendukung-pendukung UMNO harus mengambil pendekatan untuk memperkukuhkan parti dalam usaha memenangi PRU ke 15 walaupun ramai yang mengetahui ada usaha dari pihak luar cuba memecahbelahkan dalaman UMNO.
“Satu-satunya untuk menumbangkan UMNO ini adalah memecahkan UMNO dari dalam. Usaha-usaha yang terdahulunya untuk menentang UMNO daripada luaran dan usaha-usaha ini gagal tetapi sejarah telah membuktikan bahawa perpecahan hanya akan melemahkan sesebuah parti.
“Mereka nampak seperti hendak menghancurkan UMNO dan kritikan mereka sudah sampai ke tahap melukakan UMNO , namun akar umbi UMNO semakin matang dan tahu perkara yang betul dan palsu,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam masa yang sama, Arshad yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Sabah berharap pada ulang tahun UMNO ini semua akar umbi dan pimpinan tertinggi dapat mengukuhkan hubungan demi masa depan parti.
“Marilah kita dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat atasan memperkukuhkan hubungan dan saf serta bergerak ke hadapan bagi menghadapi PRU akan datang.
“Kepimpinan UMNO sama ada di peringkat akar umbi atau pun tertinggi perlu memberi fokus kepada pengukuhan dan memberi keutamaan kepada parti dan bukannya kepada individu tertentu yang mempunyai agenda peribadi,” ujarnya lagi. – UMNO Online