Jangan Bebankan Rakyat, Ambil Tindakan Tegas Terhadap Kartel Yang Kawal Harga Ayam – Norshida

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Wanita UMNO hari ini mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap kartel yang cuba mengawal harga ayam kerana dibimbangi akan menyebabkan isu tersebut terus membebankan rakyat.

Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online berkata beberapa laporan yang menyebutkan soal berkenaan harus dilihat secara mendalam.

Menurut beliau keadaan itu seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dan sewajarnyalah beberapa tindakan proaktif diambil dalam usaha memastikan rakyat tidak akan berterusan berdepan dengan masalah bekalan ayam.

“Kita dapat lihat beberapa laporan yang wujud kartel mengawal harga dan pengeluaran ayam khususnya dikalangan syarikat besar perlu ditangani segera.

“Malah kita merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan penolakan sebahagian syarikat besar tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan kerajaan memberikan harga ayam bergantung kepada harga pasaran sendiri dan sudah semestinya akan membebankan rakyat,” katanya.

Katanya lagi beberapa inisiatif drastik yang diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob termasuk penetapan harga siling dan sebagainya sedikit melegakan.

“Kita sangat bersyukur atas beberapa inisiatif drastik yang diputuskan oleh Perdana Menteri termasuklah mengarahkan kerajaan menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 Juta dibawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia.

“Isu kartel ini bukan sahaja melihat industri rantaian pengeluaran ayam malah ianya melibatkan beberapa lagi industri makanan asas rakyat dan perlu ditangani segera.

“Saya menyeru agar pihak SPRM, KPDNHEP dan MAFI segera mengambil langkah untuk menghapuskan permasalahan ini supaya rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.