Saling Toleransi Ketika Memandu, Jangan Bersikap Agresif – Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pengguna jalan raya terutama pemandu harus berhati-hati dan saling bertoleransi antara satu sama lain.

Katanya sikap tersebut adalah penting bagi mengekang perkara tidak diingini daripada berlaku.

“Kesabaran, hormat menghormati dan bertolak ansur antara aspek terpenting ketika menggunakan jalan raya.

“Saya percaya tiada sebab untuk mana-mana pemilik kenderaan berkelakuan agresif apabila berlaku salah faham di atas jalan raya,” katanya menerusi satu hantara di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga meluahkan kebimbangan beliau dengan kekerapan video tular yang menyaksikan perbalahan di antara pemandu akibat kemalangan.

“Kebelakangan ini kerap rakaman video memaparkan insiden tegang antara pengguna jalan raya di muat naik di media sosial.

“Nasihat saya, jika berlaku kemalangan sekali pun serahkan kepada pihak berwajib melakukan siasatan kerana pergaduhan tidak membawa sebarang kebaikan dan penyelesaian malah mendatangkan kesusahan.

“Rata-rata kenderaan dilindungi insurans, maka gunakanlah manfaatnya tidak perlu sehingga bercakaran satu sama lain,” ujar beliau.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan seorang lelaki memukul warga emas sehingga terjatuh atas jalan berdekatan jejantas Padang Jawa di Shah Alam.

Beberapa orang awam berada di tempat kejadian bertindak menghampiri dan cuba menghentikan perbuatan itu yang menerima kecaman netizen. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.