Lawatan ‘Under Cover’ : Pelbagai Perkara Akan Terus Diperhalusi – MB Johor

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melihat pelbagai perkara akan terus diperhalusi hasil lawatan ‘under cover’nya menaiki bas di JB Sentral untuk ke Singapura dan kembali semula ke JB menerusi pengangkutan awam.

Berkongsi di Facebooknya, beliau berkata semalam telah diadakan perjumpaan bersama jabatan dan agensi yang berkaitan.

“Susulan daripada lawatan under cover saya sebelum ini, semalam saya telah mengadakan perjumpaan bersama jabatan dan agensi berkenaan.

“Banyak isu pengguna yang perlu diselesaikan dengan kadar segara. Ada juga perkara-perkara yang tidak masuk akal yang mendapat perhatian SPRM dan akan disiasat dengan lebih terperinci,” katanya.

Katanya lagi satu laporan penuh bagi semua isu dan jalan penyelesaiannya akan dilaporkan kembali kepada beliau dalam tempoh dua minggu.

“Terima Kasih Pengarah SPRM Johor, Datuk Haji Azmi Alias, Pengarah Kastam Negeri Johor, Tuan Sazali Mohamad serta para pegawai kanan Kastam Johor, Tuan Dairin Unsir dan Puan Vimala Ramalinggam daripada Jabatan Imigresen, Pengarah JPJ Johor, Tuan Azmil Zainal Adnan serta pegawai-pegawainya, Ketua Wilayah APAD Wilayah Selatan, Puan Nor Afiza Abd Aziz serta pegawai-pegawai daripada APAD serta wakil Balai Polis BSI atas kerjasama. Semoga dipermudahkan segala urusan,” ujarnya.

Jumaat lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turun padang dan menjadi orang awam tanpa dikenali pelbagai pihak bagi merasai dan melihat sendiri suasana dalam laluan antara Johor dan Singapura.

Beliau yang berpakaian kasual dan menggunakan penutup separuh muka berserta topi telah menaiki bas di JB Sentral untuk ke Singapura dan kembali semula ke JB Sentral menggunakan pengangkutan awam.

“Saya nak lihat sendiri keadaan dan perkhidmatan di sini dan apa yang perlu penambahbaikan,” katanya melalui video pendeknya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.