Sekarang Masa Untuk Bekerja, Tolak Ketepi Agenda Lain – Norshida

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Sekarang adalah masa untuk bekerja dengan masing-masing memainkan peranan tersendiri agar segala-galanya bergerak lancar apabila gendang pilihan raya dipalu kelak.

Dalam keadaan sedemikian, jangan dilupakan juga eratkan lagi kerjasama dan muafakat hubungan sesama rakan komponen yang lain agar kejayaan yang diimpikan menjelma pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti, demikian lontaran Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim.

Bagi beliau pindaan Perlembagaan UMNO yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas UMNO merupakan satu langkah bukan sahaja ke arah memantapkan jentera parti  malah untuk kelangsungan UMNO pada masa akan datang.

“Hakikatnya dengan pindaan perlembagaan tersebut jelas memperlihatkan hasrat akar umbi yang didukung oleh pucuk pimpinan dan seharusnya tumpuan seterusnya adalah bergerak ke depan khususnya untuk memenangi PRU akan datang,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, gunakanlah sebaiknya langkah berkenaan untuk mantapkan lagi jentera parti pelbagai peringkat terutama Wanita UMNO dalam usaha membantu parti  mencapai kejayaan sepertimana impian serta hasrat semua untuk melihat UMNO/BN memerintah dengan majoriti.

Pada masa yang sama, tegas beliau dalam keghairahan jentera parti menuju dan melangkah ke depan, janganlah ada pula yang mengambil kesempatan khususnya untuk kepentingan serta agenda masing-masing.

“Tumpuan Wanita UMNO adalah untuk membantu parti mencapai kejayaan dan bukannya saling bermusuhan antara satu sama lain apatah lagi meletakkan soal pemilihan parti di depan. Jelas dengan pindaan semalam, marilah kita semua untuk sama-sama berganding bahu dan bukannya saling adu domba sesama pimpinan.

“Letaklah ke tepi apa agenda serta kepentingan peribadi sekalipun. Sama-sama kita hayun langkah mendepani cabaran untuk berdepan PRU akan datang dan bukannya lagi soal pemilihan.

“Apa pun selaku ketua penerangan akan tetap istiqamah dgn amanah mendukung parti dan tentunya Datuk Noraini menjadi kekuatan Wanita UMNO terus mengemudi parti. Manakala tanggungjawab sebagai Ketua Wanita UMNO Segamat akan tetap dilunaskan bersama barisan kepimpinan dan akar umbi  dalam usaha memastikan parti mencapai kejayaan.

“Insya Allah sama-sama kita bergerak dalam satu saf, menolak ke tepi sebarang agenda peribadi dalam menjayakan kelangsungan parti sebagai tempat bergantung rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.