Palestin Faktor Penyatu, Ketepikan Perbezaan Demi Kebangkitan Islam – Zahid

SEPANG, 20 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  berkesempatan bertemu Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin  Sheikh Hatem Mohammad Helmi dan delegasi ulama dari Palestin yang baru tiba untuk menghadiri Muslim Scholar Summit anjuran Yayasan MyAqsa di sini.

Dalam kesempatan ini, beliau memaklumkan telah mengadakan perbincangan pelbagai perkara khususnya berkenaan nasib Palestin dengan pendirian UMNO dan rakyat negara ini tidak pernah berhenti menyokong perjuangan rakyat Palestin membebaskan negara mereka dari kekejaman rejim Zionis.

“Palestin boleh dijadikan faktor penyatu bahawa apa yang harus dilakukan kebangkitan semula Islam dan Insya-Allah tidak kira sama ada negara-negara Arab dan negara lain.

“Kita harus melupakan perbezaan-perbezaan warna kulit dan negara untuk sama-sama memperjuangkan kebangkitan semula Islam dan memperjuangkan ‘Liberation of Al Aqsa’,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian sempena Muslim Scholars Summit 2022 pada majlis makan malam meraikan delegasi peserta terdiri dari ulama-ulama yang datang dari seluruh dunia di sini, malam tadi.

Turut hadir Penasihat Agama Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharum dan Duta Palestin TYT Walid Abu Ali serta Pengarah Masjidil Aqsa Sheikh Omar Awadallah Al Kiswani.

“Perbincangan untuk pembebasan Masjid Al Aqsa ini diadakan hampir setiap tahun di negara ini dan negera-negara lain, namun masalah ini bukannya masalah yang mudah kerana rejim Zionis menguasai sistem politik sebuah negara yang terbesar. Negara-negara Islam dipecah dan diperintahkan seolah-olah merestui apa yang dilakukan oleh kuasa besar itu.

“Biarpun negara-negara Islam mungkin berbeza pendapat dan pelbagai mazhab namun perbezaan pendapat, parti politik dan mazhab adalah sesuatu yang lumrah tetapi faktor Palestin adalah faktor menyatu kepada negara-negara Islam dan juga umat pada negara.

“Maka faktor Palestin harus dijadikan sebagai satu keunggulan untuk menyatukan ummah di mana-mana pun di bumi Allah ini.”

Malah katanya, Malaysia walaupun pelbagai parti telah memerintah dan pelbagai pemimpin datang dan pergi tetapi soal Palestin tidak pernah lekang untuk terus diperjuangkan

Ahmad Zahid yang juga Penaung Yayasan Al Falah menjelaskan telah berbincang dengan Pengarah Masjidil Aqsa, Sheikh Omar Awadallah bahawa Masjid Al Aqsa yang di serang oleh tentera Zionis Israel akan diberi bantuan untuk dibaiki.

“Demi Al-Aqsa kita harus bersatu untuk mencari dana bagi ‘restoration’ pada Al Aqsa dan selanjutnya bukan ‘liberation’ pada Al-Aqsa serta Palestin keseluruhannya. Seterusnya berharap agar tokoh-tokoh korporat di negara-negara Islam dapat membantu Palestin tetapi harus lupakan perbezaan dari segi politik.

“Sheikh Omar Awadallah juga telah menggesa agar satu usaha dilakukan untuk menubuhkan satu badan melibatkan beberapa negara seperti Palestin, Malaysia, Turki, Indonesia dan Pakistan bagi membantu Palestin dari pelbagai aspek secara lebih berkesan selepas ini,” katanya lagi.

Beliau yang juga menjelaskan setelah lebih tujuh dekad berlalu ternyata Islam itu adalah agama yang paling cepat berkembang.

“Perkara-perkara ‘furuk’ harus diketepikan dan harus mendepani perkara-perkara pokok yang asas dalam Islam khususnya masjid yang ketiga mulia dan pentingnya bagi umat Islam.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.