Norsabrina Bangga Istiqamah Dalam Perjuangan UMNO, Teruskan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’

BANDAR BAHARU, 20 Mei – Tumbangnya Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke14 (PRU-14) lalu sehinggakan ramai ahli-ahli UMNO termasuklah wakil rakyat yang bertanding atas tiket BN beralih sokongan namun hari ini UMNO/BN kembali dirindui malah diakui parti politik terbaik dalam pentadbiran menerajui negara.

Dalam hal ini, Ahli Dewan Undangan Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor menzahirkan rasa bangga kerana beliau terus istiqamah dalam perjuangan UMNO/BN biarpun pihak lawan sentiasa membuat tawaran agar beralih sokongan.

Tegasnya, perjuangan beliau bersama UMNO adalah berteraskan kepentingan rakyat dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh UMNO/BN.

“Saya amat berbangga kerana saya adalah wakil rakyat UMNO, ADUN yang bertanding atas tiket BN dan terus istiqamah dalam perjuangan bersama UMNO/BN, lebih-lebih lagi sewaktu kerajaan Pusat beralih dan ada macam-macam tarikan dan tawaran dari pihak sana.

“Saya bersyukur sebab saya masih dapat kekal setia dalam UMNO/BN dan dapat terus bersama-sama rakyat, menunaikan tanggungjawab dan amanah. Seboleh mungkin saya akan laksanakan yang terbaik sebagaimana UMNO yang berteraskan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’,” katanya sebagaimana dalam hantaran menerusi laman facebooknya berkaitan hal ini.

Dalam hal ini, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada kepimpinan UMNO dan ahli-ahli parti yang dapat mengembalikan parti ke landasan sebenar dan bangkit untuk mendepani PRU akan datang.

“Syukur juga Pindaan Perlembagaan UMNO lancar, dapat dilaksana dengan mengangkat suara akar umbi yang bermula dari mesyuarat Cawangan, Bahagian dan kemudian usul diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO.

“Memang, Perhimpunan Agung Khas UMNO jadi sejarah bukan semata-mata untuk ke arah pilihan raya tapi juga bukti bahawa kesatuan dalam UMNO kuat dan kukuh. Lebih dari itu pemimpin atasan menerima cadangan dari ahli-ahli di peringkat bawahan dan direalitikannya secara teratur, penuh tertib, ada etika dan sangat cantik tanpa kecelaruan.

“Terima kasih pemimpin UMNO, terima kasih para perwakilan, terima kasih ahli-ahli UMNO,” katanya lagi.

Dilaporkan, Perhimpunan Agung Khas UMNO Ahad lalu meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Ianya selepas 2,586 perwakilan bersetuju untuk meluluskan usul yang dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disokong oleh Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.