Pindaan Perlembagaan UMNO: Kita Tunggu Balasan RoS – Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkaitan keputusan pindaan Perlembagaan UMNO yang telah dibuat.

Beliau juga memaklumkan mengarahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyerahkan surat tersebut kepada RoS berkenaan perkara tersebut.

“Kita tunggu balasan dari dia (RoS)… SUA UMNO sendiri menghantar surat kepada mereka,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian pada jamuan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, malam tadi.

Terdahulu, Perhimpunan Agung Khas UMNO meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Ianya selepas 2,586 perwakilan bersetuju untuk meluluskan usul yang dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disokong oleh Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Ahmad Maslan menerusi ciapan di Twitternya pada Selasa memaklumkan telah menghantar surat kepada ROS berkaitan pindaan Perlembagaan tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.