Negara Perlukan Sebuah Kerajaan Stabil, Langkah UMNO Tepat – Din Adam
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Negara hari ini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dalam usaha memastikan seluruh rakyat dan semua pihak tidak lagi berdepan sepertimana peristiwa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu hingga menyebabkan negara berdepan dengan pelbagai cabaran.
Lantaran itu, tidak dapat dinafikan dalam usaha mengemudi sebuah negara dan untuk mengembalikan kegemilangan sepertimana sebelum PRU yang lalu, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh serta sebuah parti yang konsisten dalam menerajui kerajaan.
Atas dasar itulah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Din Adam percaya UMNO yang mengambil pelbagai langkah termasuklah pindaan Perlembagaan baru-baru ini adalah untuk kemaslahatan semua.
Beliau percaya untuk menerajui negara, ianya memerlukan parti yang benar–benar mampu dan stabil supaya tidak berlaku keadaan yang sukar sepertimana sebelum ini apabila kepelbagaian parti membentuk kerajaan dan hasilnya kecelaruan.
“Apabila menang pilihan raya kita boleh bina kerajaan dan sekaligus meletakkan kerajaan yang stabil. Insya-Allah di Malaysia ini apa-apa pun kalau dilihat pada penggal 2018 selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang sampai ke hari ini belum ada nampak kestabilan sepenuhnya….
“Sebab itu amat praktikal dalam negara mesti ada dominasi parti yang akan mentadbir sesebuah kerajaan dan tidak boleh campur-campur sebab ‘duduk serumah mimpi lain-lain’. Sebagai contoh kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih tidak sama sepenuhnya sepertimana sebelum ini
“Apa yang dikehendaki oleh parti UMNO itu sendiri dan BN amat sukar dilaksanakan kerana kepelbagaian gabungan dan ini adalah satu perkara yang bukan senang. Sebab itu perkara yang lebih penting adalah membina kerajaan yang stabil dengan satu-satu parti mendominasi sesebuah kerajaan,” katanya kepada UMNO-Online.
Kata beliau lagi yang juga Ketua UMNO Dungun, atas dasar itulah semua pihak perlu bekerjasama dan masing-masing melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya supaya hasrat untuk kelangsungan parti mencapai kejayaan kelak.
“Apabila dipersetujui terutamanya dari pihak RoS tentang pindaan yang telah dibuat ini, masing-masing kita sebagai jentera utama parti kembali ke tempat masing-masing dan berikan tumpuan kepada gerak kerja dalam melaksanakan tugas sebagai jentera parti untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya, insya-Allah,” tambahnya. – UMNO Online