KUSKOP Sasar Lahirkan Lebih Ramai Usahawan Dalam Kalangan Bekas Banduan, Penagih Dadah

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan untuk melahirkan lebih banyak usahawan yang terdiri daripada bekas banduan, bekas penagih dadah dan Orang Kurang Upaya (OKU) serta belia, menerusi Program Usahawan Kluster Baru.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata program berkenaan yang dilancar hari ini anjuran Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) diharap dapat menarik lebih ramai bakal usahawan daripada golongan itu bagi memberi mereka peluang kedua dan kembali kepada masyarakat.

Beliau berkata Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sebelum ini telah membantu golongan berkenaan dengan mengadakan pembiayaan kepada bekas banduan, pembiayaan Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK), serta skim pembiayaan peluang kedua OKU, namun kurang mendapat sambutan kerana tidak diuar-uarkan.

“Saya harap dengan kerjasama PERGAK ini dan Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan ditandatangani dengan TEKUN, maka program yang sedia ada ini kita akan mendapat sambutan lebih baik, akan lebih berkesan dan ada pemantauan untuk memastikan mereka benar-benar terlibat dan kembali kepada masyarakat.

“Program ini (bantu banduan dan penagih dadah) dah memang ada, tetapi kita buat cara kita (kementerian), sebab itu kita tengok tak berapa ramai, dalam 35 orang, tetapi sekarang ini saya harap bila ada MOU nanti dengan PERGAK, kita harapkan PERGAK dapat bantu untuk mencari mereka yang berminat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pogram tersebut di sebuah hotel hari ini.

Beliau berkata kementeriannya akan berbincang dengan PERGAK bagi menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran untuk melahirkan seberapa ramai usahawan daripada golongan tersebut menjelang tahun depan supaya kerjasama yang baik dapat dijalinkan.

Menurut Noh laporan pembiayaan TEKUN Nasional sehingga 30 April lepas menyatakan sebanyak RM531,500 telah diberikan kepada 35 peminjam bekas banduan di seluruh negara, selain RM773,000 telah diberikan kepada 58 peminjam AADK dan sejumlah RM65,000 dikeluarkan kepada lima peminjam skim pembiayaan peluang kedua.

PERGAK berfungsi sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang akan membimbing dan mengawal golongan tersebut supaya dapat membantu mereka dalam menjalani kehidupan di dalam masyarakat dengan lebih baik sebagai usahawan, menerusi program itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.