“Dah Lupa Ke… Kerajaan PH Ambil Dividen Setinggi RM54 Bilion Dari Petronas” – Najib

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Pelbagai andaian dibuat oleh pelbagai pihak pasca-Debat Perdana yang julung kali menampilkan dua figura besar arena politik tanah air, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengupas berkaitan isu Sapura Energy Berhad.

Dalam hal ini, ada pihak yang mempertikaikan hujah Najib berikutan beliau mencadangkan supaya Petronas mengambil alih syarikat Sapura Energy Berhad sebagai langkah untuk menyelamatkan syarikat itu malah ia dianggap menyusahkan Petronas.

Bidas Najib, yang benar-benar menyusahkan Petronas adalah kerjaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kerana menjual aset-aset Petronas berbanding zaman Barisan Nasional (BN) yang menambah asetnya.

“Yang benar-benar susahkan Petronas adalah kerajaan PH dan PN yang tidak henti menjarah Petronas dan menjual aset Petronas.

“Dah lupa ke? Pada tahun 2019 sahaja, kerajaan PH ambil dividen setinggi RM54 bilion dari Petronas. Tak pulak korang kecam kerajaan PH pun masa itu,” tegasnya.

Berikut kenyataan penuh beliau sebagaimana dalam laman facebooknya:

Ramai yang membuat andaian bahawa saranan saya bagi Petronas menyelamatkan Sapura bermaksud Petronas perlu jelaskan hutang RM10 bilion syarikat itu.
Tidak.

Hutang Sapura pernah cecah RM18.6 bilion dan syarikat tersebut berjaya turunkannya ke RM10.7b.

Sekiranya syarikat itu mempunyai modal kerja yang cukup untuk menyampaikan kontrak-kontrak (RM7b dalam tangan ketika ini dengan nilai kontrak RM30b dalam bidaan), Sapura sebenarnya mampu menjana aliran tunai masuk (cash inflow) yang tinggi.

Pada tahun 2017, Sapura menjana cash inflow sebanyak RM3b dengan aliran keluar sebanyak RM800 juta.

Tahun 2018 juga, cash inflow nya adalah positif.

Sapura juga mempunyai aset-aset yang sangat berharga yang jauh melebihi nilai keseluruhan saham syarikat itu di Bursa Malaysia.

Ketika ini, nilai Sapura di bursa adalah RM1 bilion (ya, saya tahu harga saham Sapura melonjak naik semalam) tetapi pegangan 50% syarikat tersebut dalam Sapura OMV sudah bernilai lebih RM5 bilion. Belum ambil kira aset-aset lain.

Apa yang Sapura perlu sekarang adalah modal kerja yang mencukupi, keyakinan customer, pemegang saham, vendor dan bank terhadapnya dipulihkan serta kontrak Petronas yang lebih adil dipulihkan kepada mereka.
(kadar-kadar bayaran kontrak Petronas kepada Sapura telah banyak diturunkan pada tahun 2015-2016 apabila Petronas dalam bahaya. Masa itu, vendor termasuk Sapura membantu Petronas. Sebab itu, ianya adil bagi Petronas membalas budi pada ketika harga minyak sudah naik lebih 3 kali ganda).

Erti kata lain, Sapura mempunyai track rekod dan kemampuan menjelaskan hutang sekiranya ianya dipulihkan.

Ketiga-tiga keperluannya boleh dipenuhi’
a) sekiranya Petronas mengambil alih secara sementara. Setelah pulih, Petronas boleh jual balik dan mengaut keuntungan amat besar.
(Nilai Sapura sekarang RM1b. Dulu RM30b. Jika dipulihkan, mampu untung RM29b.)
ataupun,

b) kerajaan memberi jaminan kerajaan bagi Sapura mendapat semula kemudahan modal kerja serta pemulihan kontrak Petronas yang lebih adil kepada Sapura.
Saya bukan kaki bailout dan saya hanya akan sarankan setelah pertimbangankan baik buruk serta peluang ianya dapat dipulihkan.
Bukan juga semua bail-out akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

Sebagai contoh, bail-out Proton keitka saya PM yang kini sangat berjaya tidak merugikan kepada kerajaan dan mampu menjana keuntungan.
Kerajaan Amerika Syarikat juga pernah mengaut keuntungan “berpuluh-puluh biliyun” dolar dalam tempoh 2 hingga 3 tahun sahaja ketika bail-out Citibank, AIG dan General Motors pada tahun 2008.

NOTA: Yang kata Najib mahu menyusahkan Petronas perlu tahu bahawa rizab tunai Petronas naik dari RM30 bilion ke RM176 bilion dalam tempoh saya PM. Nilai bersih Petronas juga naik 4 kali ganda ketika saya PM.
Yang benar-benar susahkan Petronas adalah kerajaan PH dan PN yang tidak henti menjarah Petronas dan menjual aset Petronas
Dah lupa ke? Pada tahun 2019 sahaja, kerajaan PH ambil dividen setinggi RM54 bilion dari Petronas. Tak pulak korang kecam kerajaan PH pun masa itu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.