Pindaan Perlembagaan UMNO ‘Serampang Dua Mata’ Kukuh Parti, Menang PRU – Pemerhati Politik

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) disifatkan oleh beberapa pemerhati politik sebagai strategi ‘serampang dua mata’ dalam memperkukuhkan parti seterusnya bersatu hati menuju PRU.

Mereka senada menyimpulkan bahawa ia juga dijangka memberi kelebihan kepada kepimpinan dan ahli parti untuk terus bekerjasama kuat sekali gus mencapai kestabilan politik seperti yang dilaungkan pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini iaitu di Melaka dan Johor.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata UMNO perlu memanfaatkan tempoh pemilihan ditangguhkan itu untuk menguatkan saf mereka bagi berhadapan cabaran daripada parti politik lain dalam PRU akan datang.

“Kalau UMNO lemah, di situ ruang yang akan diambil parti lawan untuk memanipulasi kelemahan UMNO. Berdasarkan sejarah dan perkembangan sebelum ini, parti-parti lain menantikan UMNO itu lemah kerana apabila UMNO lemah, baru mereka boleh mengambil ruang dan peluang untuk menguasai politik Malaysia.

“Selagi UMNO kuat dan stabil, parti-parti politik lain agak sukar untuk mengatasi UMNO kerana UMNO sebuah parti berpengalaman, ada cawangan dan ahli yang paling ramai. Justeru kestabilan UMNO ini sangat penting untuk PRU nanti,” katanya.

Mohd Izani berkata individu penting dalam UMNO iaitu Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan serta ketiga-tiga Naib Presiden iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin perlu dijadikan sumber inspirasi untuk menguatkan parti.
Menurutnya UMNO juga masih perlu bekerja keras kerana kemenangan pada PRN Melaka dan Johor sebelum ini bukanlah penentu kepada landskap politik negara namun boleh dijadikan motivasi untuk mewujudkan persepsi bahawa parti itu diterima rakyat.

Pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpandangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak mempunyai sebarang isu yang tidak munasabah untuk tidak meluluskan pindaan perlembagaan itu.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian, UMNO dilihat mengikut peraturan yang sepatutnya termasuk melakukan perhimpunan agung khas pada Ahad yang dihadiri 2,586 daripada 2,666 keseluruhan perwakilan, serta mencapai konsensus untuk melakukan pindaan.

“ROS perlu membuat pertimbangan sebaiknya mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta Pertubuhan, sama ada tempoh masa untuk meminda perlembagaan parti itu boleh dilakukan atau tidak,” katanya.

Andainya ROS mempunyai sebab munasabah untuk tidak meluluskan pindaan perlembagaan itu, Mohd Azizuddin berkata UMNO bakal berdepan dilema dan risiko yang besar, termasuk perpecahan dalam parti menjelang PRU, atau lebih berat parti diharamkan sekiranya tidak mengadakan pemilihan sebelum Parlimen dibubarkan.

“Kalau ROS kata kena buat pemilihan juga, fokus mereka bukan lagi PRU tetapi terus kepada pemilihan UMNO dan ini boleh menjadi bibit-bibit perpecahan dalam UMNO sebab mereka harus fikir untuk bersaing dalam beberapa jawatan.

Beliau turut mempersoalkan persediaan kepimpinan baharu yang akan dipilih dalam meneruskan gerak kerja menghadapi PRU sekiranya pemilihan diadakan sebelum PRU memandangkan umur bagi jawatan sayap Pemuda dan Puteri UMNO mempunyai had.

Beliau berkata UMNO juga bakal berdepan unsur sabotaj sekiranya berlaku perpecahan dalaman akibat pemilihan yang sekali gus melemahkan parti itu pada PRU akan datang.

“Persediaan UMNO untuk menghadapi PRU itu sebenarnya lebih baik diteruskan oleh kepimpinan sekarang ini terus sampai PRU untuk mengelakkan risiko perpecahan dalam parti yang lebih besar,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.