Perpaduan UMNO Keutamaan, Pindaan Perlembagaan Demi Kesepakatan Untuk PRU15 – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyambut baik pindaan Perlembagaan parti demi menjaga perpaduan dalam kalangan ahli.

Katanya kesepakatan ini penting bagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Ini adalah lebih kepada memastikan anggota parti bersedia menghadapi PRU15 akan datang dalam keadaan semua jentera di semua peringkat kepimpinan tertinggi, perhubungan negeri, bahagian dan pusat daerah mengundi itu sendiri siap sebagai satu pasukan dan keluarga besar tanpa sebarang perbalahan.

“Itu rasional parti mengutarakan supaya usul penangguhan pemilihan parti ini diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya diadakan.

“Pada saya ini merupakan satu tindakan dan keputusan yang sangat baik diambil oleh kepimpinan parti sebagai sebuah parti besar yang telah lama berada di persada antarabangsa dan nasional,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu malah meluahkan kesyukuran atas semangat luar biasa ditunjukkan ahli parti meskipun pelbagai cabaran dilalui termasuk kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 lalu.

“Selepas mengalami kekalahan pada PRU 14, kebangkitan dan kekuatan anggota parti setiap peringkat sangat luar biasa.

“Saya yakin dalam menghadapi pilihan raya penting dalam keadaan semua anggota dan jentera parti berada sebagai satu pasukan besar.

“Sebagai satu pasukan parti untuk memastikan dan mencapai satu matlamat ia ini berjaya menghadapi PRU 15, insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.