Masa Untuk UMNO Bergerak Ke Hadapan, Tidak Timbul Lagi Sebarang Spekulasi – Azhari

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Sekarang segala-galanya telah selesai untuk seluruh ahli serta pendukung parti terus bergerak ke depan bagi melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing dalam usaha memastikan parti dapat mendepani segala cabaran yang ada khususnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Itu antara titipan Ketua UMNO bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Datuk Shaari yang berpandangan waktu ini adalah masa untuk masing-masing bekerja dan fokus sudah pasti terarah ke arah memperkemaskan lagi jentera setiap peringkat.

Menurut beliau tentunya langkah meminda perlembagaan parti pada Ahad lalu memberi seribu satu makna kerana fokus hari ini sudah pastilah terus bergerak ke depan tanpa digangu gugat dengan pelbagai spekulasi.

“Pindaan Perlembagaan UMNO yang menyatakan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 disambut baik semua pihak. Selepas ini diharap seluruh akar umbi terus fokus kepada memenangi hati rakyat untuk menyokong UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN).

“Selagi pindaan perlembagaan tersebut tidak dilakukan maka pelbagai spekulasi dan gerak kerja yang boleh memecah belahkan parti terus wujud,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi hari ini adalah masa terbaik untuk sama-sama mengatur pelbagai strategi bagi berdepan pihak lawan yang ketandusan isu dengan dikitar kembali dalam usaha menghakis kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan BN.

“Sewajarnya pada saat ini, fokus semua ahli UMNO untuk kembali mengatur strategi terbaik untuk melawan perang saraf parti lawan yang ketandusan isu. Sempena hari baik bulan baik ini, bersamalah kita kembali merapatkan saf untuk berjuang bersama Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamididan seluruh kepimpinan  untuk memperkasa agenda parti untuk membangunkan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Perhimpunan Agung Khas UMNO Ahad lalu meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Ia diluluskan selepas 2,586 perwakilan bersetuju untuk meluluskan usul yang dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disokong oleh Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan terbabit berlangsung lancar di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang turut disusuli sambutan ualng tahun ke-76 UMNO dan jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.