Pindaan Perlembagaan Demi Kepentingan Parti, Bukan Individu – Bung

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pindaan Perlembagaan seperti yang dilaksanakan pada Perhimpunan Agung Khas UMNO semalam bukan bersifat memberi kepentingan kepada individu.

Katanya ini kerana, fokus utamanya adalah bagi memperkukuh perpaduan parti demi menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Pindaan ini bukan agenda untuk menempatkan diri dalam kalangan pemimpin UMNO itu sendiri tetapi untuk memperkasakan parti.

“Sebab kita lihat apabila ada pemilihan sebelum pilihan raya parti akan lemah sebab yang kalah bertanding dia akan keluar daripada UMNO dan menentang pada pilihan raya.

“Justeru itu kita membuat keputusan dengan mencadangkan pemilihan parti hendaklah diadakan sama ada penangguhan 18 bulan ataupun dalam enam bulan selepas pilihan raya,” katanya pada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan malah berkata agenda yang lebih besar pada ketika ini adalah dengan menumpukan kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 kelak.

“Ini penting untuk pastikan parti terus kukuh dan tidak perlu ada perpecahan sebelum atau selepas pilihan raya diadakan.

“… yang penting kita sudah berjaya membentuk kerajaan dan sudah tentu pemilihan parti bukan menjadi keutamaan apabila kita mendapat kerajaan yang baik,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.