Muafakat Aset Terbaik UMNO Menuju PRU15 – Onn Hafiz


KUALA LUMPUR, 16 Mei – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan kesyukuran dengan Perhimpunan Agung Khas UMNO yang dilaksanakan semalam.

Beliau yang juga Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam berkata permuafakatan ditunjukkan ternyata merupakan penanda aras terbaik termasuk dalam kalangan ahli parti sebagai persediaan menuju ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Saya tengok memang begitu keadaannya malah bukan sahaja dalam kalangan ahli parti tetapi juga daripada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.

“Ini memberikan petanda baik malah kita juga tidak boleh ambil ringan kerana ada sahaja yang ingin mengadu-domba dan memecah belahkan parti ini.

“Sama-sama kita rapatkan saf kerana selepas ini peperangan yang cukup besar menanti dan ia menuntut untuk bersatu hati menentang musuh-musuh,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau juga merakamkan penghargaan terutama kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memainkan peranan besar dalam membawa pindaan Perlembagaan parti.

“Tahniah saya ucapkan kepada presiden dan barisan kepimpinan. Semuanya menyambut baik apa yang dicadangkan oleh pucuk pimpinan dan ianya datang dari akar umbi juga.

“Alhamdulillah Perdana Menteri yang juga Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri telah menyokong usul tersebut,” ujar beliau.

Perhimpunan khas yang berlangsung pada semalam meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO.

Ia diluluskan selepas 2,586 perwakilan bersetuju untuk meluluskan usul yang dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan disokong oleh Ismail Sabri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.