UMNO Kekal Relevan Kerana Kesediaan Melakukan Perubahan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sejak ditubuhkan UMNO telah melalui fasa-fasa perubahan sesuai dengan kedinamikan politik pada sesuatu masa.
Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, fleksibelnya sifat politik UMNO yang sentiasa melakukan perubahan dan sesuai dengan kehendak politik semasa.
“Malah, kesediaan melakukan perubahan, menjadikan UMNO terus kekal relevan dalam iklim politik sepanjang zaman. UMNO pernah melalui zaman pendakian, berada di kemuncak dan zaman kejatuhan. Kesemua era tersebut dilalui dengan pelbagai perubahan, dan pendekatan.
“Memasuki usia 76 tahun, liku perjuangan dan perjalanan politik yang panjang, semakin mematangkan UMNO. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, UMNO tidak pernah melupakan asas perjuangannya,” katanya di ucapan perasmian Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengimbas kembali sejarah perjuangan dan liku-liku yang ditempuhi oleh parti sejak ditubuhkan 76 tahun lalu.
“Seawal penubuhan pada tahun 1946, UMNO menjadi penyatu kepada seluruh perkumpulan Melayu. Gerakan massa umat Melayu ketika itu bermatlamatkan untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.
“Laluan menuju kemerdekaan yang diawali dengan beberapa siri Pilihan Raya Majlis Perbandaran bagi George Town, Kuala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh, Alor Setar, Melaka dan Seremban; seterusnya Pilihan Raya Persekutuan yang pertama pada 27 Julai 1955,” ujarnya.
Tambahnya, UMNO meletakkan asas kerjasama dengan kaum lain melalui Parti Perikatan yang diasaskan pada tahun 1952.
“Ia menjadi wadah kerjasama politik yang tidak pernah dirintis oleh mana-mana pihak sebelum itu. Pada Pilihan Raya Persekutuan yang pertama, Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan,” katanya.
Malahan jelasnya lagi, model kerjasama politik yang ditunjangi UMNO melalui Parti Perikatan tidak terhenti setakat itu.
“Selepas Pilihan Raya Umum 1969, yang membawa kepada peristiwa hitam 13 Mei, UMNO membuat anjakan politik yang besar, dengan menubuhkan Barisan Nasional, menggantikan Parti Perikatan.
“Pembentukan Barisan Nasional pada tahun 1974, lebih bersifat inklusif dengan melibatkan lebih banyak parti-parti politik. Langkah ini telah menjadi ‘trendsetter’ landskap politik negara ketika itu,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Dalam ucapannya juga, Ahmad Zahid mengharapkan pendukung parti dapat mempersiapkan UMNO untuk berhadapan dengan rencam politik dan mewariskannya bagi diteruskan perjuangannya oleh generasi pelapis.
Ahmad Zahid turut memberikan contoh sebagaimana pendekatan parti yang memberi ruang kepada muka-muka baharu di dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor dan ia menunjukkan antara bukti UMNO tidak ketandusan pemimpin.
“Ia juga memperlihatkan kesiap-siagaan UMNO, untuk memastikan obor perjuangan parti, terus semarak menyongsong usia 100 tahun.
“Inilah kedinamikan politik UMNO. Kita sentiasa bersedia membuat anjakan agar sesuai dengan tuntutan semasa,” ujarnya yang turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Belia yang jatuh pada hari ini. – UMNO ONLINE