UMNO Sentiasa Bersama Rakyat, Mainkan Peranan Utamakan Kepentingan Masyarakat

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun menegaskan bahawa UMNO sentiasa memikirkan kepentingan masyarakat khususnya dalam membawa kepada agenda kesejahteraan malah mengakui bahawa polisi dan dasar yang diangkat parti memberi peranan penting sehingga ke hari ini.

Beliau turut berkongsi pengalaman bagaimana polisi untuk pembinaan klinik di kawasan bandar yang pada peringkat awalnya amat sukar, namun dengan kebijaksanaan pimpinan UMNO yang menunjangi kerajaan pada waktu itu, akhirnya Klinik Kesihatan dapat dibina untuk kepentingan masyarakat.

“Ketika saya berkhidmat di sektor kesihatan… saya ingin berkongsi satu perkara. Untuk membina klinik kesihatan di bandar-bandar ada satu klausa iaitu penduduknya mestilah melebihi 10 ribu dan memerlukan tanah sebanyak dua ekar. Cuba beritahu saya kat mana tanah dalam bandar ada dua ekar … namun pada ketika itu kepimpinan UMNO yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melaksanakan National Blue Ocean Strategy (NBOS) mewujudkan bekerjasama dengan agensi.

“Kementerian Kesihatan bergabung dengan Jabatan Perancangan Bandar duduk berbincang dan buang klausa itu iaitu tidak memerlukan tanah dua ekar dan kini kita boleh nampak di Kota Damansara mempunyai klinik kesihatan dalam bangunan.

“Saya buka cerita di sini untuk memperlihatkan polisi dan dasar itu satu perkara yang amat penting dan bagaimana satu dasar walau sekecil mana sekalipun boleh mengubah nasib rakyat,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel menerusi Wacana Aspirasi UMNO (WAU) yang menampilkan tiga panel lain yang diadakan sempena ulang tahun ke-76 penubuhan parti itu Rabu lalu.

Wacana yang bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ itu turut menampilkan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Presiden Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose dan Presiden Alumni Parlimen Belia Malaysia Mohamad Nazrin Faiz Che Abd Aziz sebagai panel jemputan.

Bagi Mohamad Nazrin, UMNO perlu memikirkan cara untuk terus mendekati golongan belia di negara ini dengan populasi mereka yang makin bertambah namun penghayatan kepada UMNO juga mesti terus diaplikasi.

Tambahnya apabila bercerita tentang tawaran, UMNO serta BN mesti dilihat prorakyat dan sepertimana yang diperjuangkan dalam konteks KWSP baru-baru ini ianya amat baik.

“Namun janganlah terlalu mengharapkan kepada pemimpin semata-mata sebaliknya ahli parti perlu menggunakan sepenuhnya penggunaan media sosial.

“Kalau kita tidak tunjuk maka orang tidak tahu dan orang UMNO mesti tunjuk apa yang telah kita buat.”

Ujarnya, perlu ada duta-duta kecil parti untuk menyampaikan atau menyuarakan hasrat UMNO di luar sana.

“Dalam konteks anti lompat parti… UMNO dan BN perlu kedepan dalam memperjuangkan isu ini. Kita perlu tunjukkan kita konsisten dan kalau boleh jangan kita terima mereka yang dah lompat. Kita kena konsisten kita bukanlah parti yang pusing-pusing.

“Media sosial… perlu ada ‘fighter’. Anak muda sebagai contoh sepertimana sebelum ini Dr Asyraf Wajdi terkedepan dalam isu KWSP. ‘Focus base’ lain seperti dalam sektor ekonomi, pendidikan dan sebagainya lagi barulah sampai kepada akar umbi. Ambil info terjemahkan dari segi idea dan kita sama-sama sampaikan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.