Pindaan Perlembagaan Untuk Kelangsungan Parti Bukan Untuk ‘Presiden UMNO’ – Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pindaan perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung UMNO Khas Ahad ini bukanlah untuk dirinya tetapi untuk kelangsungan UMNO itu sendiri.

Menurut beliau ‘suara-suara panas hati’ kononnya langkah berkenaan adalah untuk Presiden UMNO jauh tersasar kerana usaha berkenaan adalah untuk kelangsungan parti.

“Seperti yang diketahui Perhimpunan Agung Khas UMNO diadakan pada 15  Mei 2022 adalah bertujuan untuk meminda perlembagaan parti. Ia selaras dengan beberapa perkara yang telah pun dimuafakati dan diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang lalu.

“Tentunya pindaan yang akan menjadi tumpuan berhubung pemilihan parti dikehendaki diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).”

Jelasnya, pindaan yang bertujuan memastikan seluruh kekuatan UMNO dapat digemblengkan bagi menghadapi PRU tanpa ancaman dan risiko perpecahan.

“Ia juga merupakan satu lagi langkah dan usaha keterhadapan untuk memperkasakan UMNO dalam berdepan dengan cabaran mendatang,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk seterusnya menegaskan pindaan itu kelak meletakkan UMNO dalam keadaan paling kemas, tersusun dan berdaya setiap kali memasuki gelanggang PRU.

Justeru tegas beliau perkembangan ini semestinya mengundang rasa kurang senang pihak yang sememangnya tidak pernah senang dengan UMNO dan mereka tahu pindaan itu akan menyanggah impian mereka untuk menyaksikan perpecahan yang akhirnya melemahkan parti ini.

“Mungkin kerana itu ada ‘suara-suara panas hati’ yang menuduh kononnya transformasi itu demi kepentingan Presiden UMNO. Saya dengan tawaduk dan penuh keyakinan menegaskan pindaan waktu pemilihan parti hanya selepas PRU tidak pernah berkenaan diri saya.

“Ia sesuatu yang diputuskan oleh akar umbi UMNO secara bersama dengan mengambil iktibar dan keinsafan demi menjulang sebuah penyatuan. Pindaan itu juga tidak bersifat ‘short term’, sebaliknya ia sebuah strategi masa panjang untuk kepentingan UMNO semata-mata.

“Insya-Allah UMNO sentiasa dibawah lindungan Yang Maha Esa daripada anasir-anasir yang mahu merosakkan kemuafakatannya. Kepada Allah S.W.T jua kita berserah selepas segala daya dan upaya,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.