Debat Perdana: Hujah Dan Fakta Kukuh Najib Di Sebalik Retorik, Emosi Anwar
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berpandangan debat antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam merupakan pertembungan berbeza dua sisi tokoh politik.
Katanya berbeza dengan Presiden PKR itu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri menyampaikan hujah bernas berserta fakta terutama dalam menangani isu pergelutan syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd.
“Hadir menyaksikan debat perdana malam tadi mendengar hujah-hujah mengenai masa depan menangani cabaran negara dan pendekatan mengatasi isu Sapura. Jelas sekali prestasi Najib lebih baik.
“Bukan sahaja dari segi aksi yang tenang tapi hujah dan fakta yang kukuh di tambah dengan visi jelas. Anwar pula silapnya terbawa-bawa sebagai seorang pembangkang dalam debat ini… gagal menangkap imaginasi penonton,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Perkara sama diakui Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang berpandangan bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu hanya beretorik sepanjang perdebatan itu berlangsung.
Katanya lagi, Anwar juga tidak memperlihatkan beliau sebagai pemimpin yang cocok untuk menjadi Perdana Menteri terutama dalam isu-isu yang dibahaskan.
“Najib tidak mahu menggunakan istilah auta terhadap hujah Anwar malam tadi. Najib kata retorik. Dari awal ke akhir Anwar berulang kali menyebut forensik audit. Semasa Pakatan Harapan ada kuasa, Anwar senyap pasal Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, FELDA dan FELCRA.
“Memang Anwar retoris… dia semakin jauh daripada jawatan Perdana Menteri. Debat Najib-Anwar malam tadi mendedahkan, Anwar bukan material PM. Dia tidak ada penyelesaian tapi hanya retorik.
“Di akhir debat penyokong Anwar melaungkan ‘reformasi’ dibalas oleh penyokong bossku ‘reforbasi’… apa pun biar rakyat menilai,” ujar beliau.
Sementara itu bagi Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad, beliau berkata bahawa Najib sebagai bekas Perdana Menteri memperlihatkan dirinya sebagai pemimpin yang berkaliber dan relevan dalam pentas politik negara.
“Ianya tidak mengubah persepsi saya terhadap Najib. Sarat dengan fakta seperti mana kehadirannya di media sosial berani membuat cadangan walaupun biasa diperlekehkan termasuk di Dewan Rakyat.
“Secara kebetulan, temubual CNA (media Singapura) dengan saya tentang mengapa Najib masih lagi mendapat sambutan awam yang hebat walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah telah disiarkan pada malam yang sama. Ini pun satu cerita yang panjang.
“Begitu juga persepsi saya terhadap Anwar. Gayanya dan isi ucapannya adalah seperti mana saya ingati beliau. Sedap didengar tapi kepuasan hanya buat sementara,” katanya. – UMNO Online