Kepercayaan Asas Kukuh Kepada Penyatuan, UMNO Bawa Agenda Rakyat – Mahdzir
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khaled meletakkan asas kepercayaan dalam kalangan ahli parti sebagai kunci utama untuk parti keramat ini membina landasannya tersendiri bagi membawa perjuangan agama, bangsa dan negara.
Katanya, ini kerana kepercayaan memainkan peranan dalam membina asas kukuh kepada penyatuan dalam kalangan ahli parti ini.
“Saya diberitahu oleh orang-orang lama termasuk ahli akademik perkataan pertama sekali adalah kepercayaan.
“Dalam perjuangan dan organisasi kita yakin bahawa parti yang dipilih itu tidak salah dan naratif yang betul untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program khas Ulang Tahun UMNO 76 Tahun – Perjuangan Seribu Liku yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.
Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, bagaimanapun di sebalik nilai kepercayaan yang terbina itu sudah tentu ada pihak lain akan sedaya upaya untuk melakukan pelbagai agenda bagi menggugat perpaduan tersebut.
“Akan ada cabaran sebab pada masa keyakinan itu sampai pihak lain sebagai contoh parti yang berbeza akan buat apa sahaja benda untuk nampakkan parti UMNO ini lemah.
“Sebab itu cuba dibangkit kebencian yang amat sangat kepada UMNO, proses kebencian itu dibawa sampai ke kampung tapi apabila kita pergi dan lawan juga.
“Alhamdulillah rakyat boleh membuat perbandingan antara dua keadaan dan situasi masa dan perkara-perkara yang dilakukan,” ujar beliau.
Bersempena Hari UMNO yang disambut saban tahun pada 11 Mei, beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap memaklumkan bahawa parti keramat ini bukan hanya sekadar parti politik.
Katanya, perkara tersebut juga malah turut diakui oleh para cendekiawan negara.
“Kalau kita membuat kajian ahli-ahli akademik, para profeisonal, dan teknokrat yang menulis mengenai UMNO mereka menyatakan bahawa parti bukan sekadar parti politik tapi sebuah organisasi orang Melayu yang telah mendokong dasar untuk negara pelbagai kaum.
“Ini kerana pelbagai perkara yang dilakukan antaranya dasar pendidikan daripada awal meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di samping bahasa lain boleh diamalkan oleh kaum masing-masing.
“Malah diletakkan lebih awal daripada itu Islam sebagai agama rasmi Persekutuan… tidak cukup dengan itu kerajaan juga bersetuju untuk menubuhkan sekolah vernakular, itu dasar yang dilakukan pemimpin UMNO sehingga ke hari ini,” katanya. – UMNO Online