Wacana Aspirasi UMNO Tampilkan Idea, Kongsi Pandangan Kejayaan UMNO 76 Tahun
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Wacana Aspirasi UMNO (WAU) yang menampilkan empat panel utama hari ini masing-masing berkongsi pandangan sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-76 yang melihat parti berkenaan mempunyai keunikan yang tersendiri.
Masing-masing berpandangan UMNO terus kekal dan mampu mendepani cabaran biarpun sebelum ini dihujani dengan pelbagai ujian serta cabaran termasuklah ketika mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, namun UMNO tetap kekal konsisten menggalas tanggungjawab berjuang untuk kepentingan rakyat.
Ada juga yang melontarkan idea dan berkongsi pandangan untuk UMNO terus kekal mendapat tempat di hati rakyat dalam usaha memastikan segala perancangan serta polisinya terlaksana.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika memulakan sesi wacana berkenaan berkata apa yang dipelajari menerusi perjuangan UMNO hari ini, apabila jatuh sahaja jangan tersungkur tetapi bangkit kembali.
“Jatuh jangan tersungkur bangkit kembali…ini yang saya belajar sejak 9 Mei 2018. Apa buktinya…9 Mei baru sahaja dua hari berlalu dan genap empat tahun kita jatuh. 22 bulan kita di Dewan Rakyat melawan dan terus melawan termasuklah di media sosial dan sebagainya.
“Kemudiannya Alhamdulillah menerusi tujuh pilihan raya kecil menang di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Slim, Chini, Parlimen Kimanis, Parlimen Tanjung Piai yang kita kalah sebelum itu menang kembali dengan majoriti yang besar.
“Begitu juga di Sabah apa yang berlaku…daripada 25 ketua bahagian 22 daripadanya melompat dan yang tinggal hannya tiga ketua bahagian. Manakala daripada berbelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tinggal hanya seorang…kemudian ada PRN Sabah kita menang 14 kerusi,” ujarnya.
Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya berkongsi kejayaan di Melaka dan Johor yang memperlihatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus bangkit.
“Di Melaka kita menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dan rakan kita GPS di Sarawak menang dengan cemerlang. Di Johor jatuh kemudiannya bangkit kembali. Hanya 19 kerusi menang daripada 56 kawasan pada PRU-14, kemudiannya kita berusaha bersungguh-sungguh kemudiannya pada PRN kita menawan 21 Dun yang kita kalah dan kita menang 40 daripada 56 DUN. Jadi dalam perjuangan UMNO yang panjang ini pesanan saya ialah apabila kita jatuh bangkit kembali,” tambahnya lagi.
Selain Ahmad, panel lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Radhuan Che Rose; Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun dan Pengerusi Alumni Parlimen Belia Malaysia, Mohamad Nazrin Faiz. – UMNO Online