UMNO ke-76: Perkuat Parti, Siap Jentera Bagi Menghadapi PRU15 – Fadwah

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Fadwah Anuwar berharap Ulang Tahun UMNO yang ke-76 sebagai medan untuk terus memperkasa parti keramat ini terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya ini kerana, rakyat bergantung harapan kepada UMNO bagi meneruskan kesimbungan yang telah dibawa parti sejak awal penubuhannya.

“… kepada seluruh ahli UMNO bersama-sama kita memperkuat parti, siap jentera bagi menghadapi pilihan raya.

“UMNO ini untuk rakyat dan rakyat memerlukan UMNO. Selamat Ulang Tahun ke-76… UMNO sebuah perjuangan,” katanya.

UMNO sebagai sebuah parti terbesar orang Melayu meraikan ulang tahunnya saban tahun pada 11 Mei.

Terdahulu bagi menyemarakkannya, Ibu Pejabat UMNO Malaysia menganjurkan Wacana Aspirasi UMNO bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ pada hari ini yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Antara panel yang berdiskusi adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Radhuan Che Rose; Pengerusi Alumni Parlimen Belia Malaysia, Mohamad Nazrin Faiz dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun.

Sementara itu, pada Ahad sambutan ulang tahun UMNO juga sekali lagi dianjurkan bersama Perhimpunan Agung UMNO Khas (PAU) dan jamuan Hari Raya Aidilfitri. – UMNO Online