UMNO 76 Tahun, Matang Hadapi Pelbagai Krisis Demi Krisis… Wadah Perjuangan – Mohamad

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO merupakan satu badan siasah yang terbesar bagi orang Melayu dan juga parti yang pertama di negara ini.

Jelasnya, pada hari ini usia UMNO telah menjangkau 76 tahun dan ianya satu usia yang telah matang malah UMNO juga menjadi wadah perjuangan orang Melayu.

“Sejarah perjalanan parti UMNO ini sudah lama sebab badan siasah yang telah matang dan ianya telah melalui pelbagai suka dan duka serta telah melalui banyak krisis demi krisis tetapi masih lagi menjadi sebuah parti yang terbesar di dalam negara.

“UMNO ini adalah satu gagasan cendiakawan Melayu, perjuangan orang Melayu yang hendak merebut kemerdekaan dengan cara yang aman dan secara berkompromi iaitu melibatkan semua kaum di dalam negara ini.

“Sebab itu selepas UMNO ditubuhkan maka ditubuhkan MCA dan MIC untuk sama-sama mendapatkan kemerdekaan untuk negara kita, maka tertubuh negara Malaysia ataupun Persekutuan Tanah Melayu. Malaysia tertubuh pada tahun 1963,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Auditorium Menara Dato’ Onn, di sini selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini sempena sambutan penubuhan UMNO ke-76.

Dalam hal tu, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO (BPUN) Negeri Sembilan menjelaskan Wacana Aspirasi UMNO yang diadakan sempena sambutan 76 tahun ini merupakan suatu inisiatif untuk mengumpulkan semula pemegang taruh (stake holders) baik dari segi cendiakawan, belia dan juga NGO untuk memberikan pandangan masing-masing.

“Itulah sebab saya menjemput dan mengajak semua beri pandangan, jangan malu-malu, takut-takut dan bagitahu apa pandangan mereka terhadap UMNO sekarang ini supaya dapat ambil sebagai maklum balas untuk memperbaiki dan menyusun strategi.

“Memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dan menyusun strategi untuk melonjakkan parti menjadi parti sebagai dominan dalam negara kita. Insya-Allah… PRU ke 15 kalau diberi mandat semula, parti kembali mentadbir negara,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, ini adalah asas dan tujuan utama mengadakan wacana ini serta memanggil ahli-ahli panel daripada pelbagai latarbelakang.

“UMNO juga turut memanggil para-para belia Melayu dan juga bukan melayu untuk sama-sama memberikan pandangan mengkritik, menegur apa sahaja. Kita akan catitkan dan kupaskan serta akan lihat dan kami akan ambil maklum balas,” tegasnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.