UMNO Mahu Rakan Politik Setia, Saling Menghormati – Zahid

BAGAN DATUK, 8 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa UMNO menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Majlis Syura Pas dan juga jawatankuasa Pas pusat.

Jelasnya ini kerana UMNO mahu mengekalkan penyatuan ummah tetapi mereka memperlihatkan sikap yang tidak matang dalam politik.

“Itu adalah pandangan Pas dan dari sejak awal lagi itulah pendirian UMNO tetapi mereka telah memperlihatkan sikap talam dua muka dan tidak mengambil kira bahawa kononnya politik matang sebagai organisasi apatahlagi pertubuhan politik yang siang cakap lain, malam berubah dan bercakap lain apatahlagi esoknya.

“UMNO mahu rakan yang setia dan kesetiaan itu bukan hanya kata-kata tapi tindakan dan juga keputusan-keputusan yang dilakukan. Eloklah kita saling hormat menghormati keputusan parti masing-masing.

” UMNO tidak mahu sindir menyindir dilakukan maka UMNO telah kenal mana yang mutu dan mana yang manikan dan juga sekilas ikan di air kita telah kenal jantan dan betinanya,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks UMNO Bagan Datuk, turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rizam Ismail serta kepimpinan UMNO Bahagian Bagan Datuk.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk juga menegaskan bahawa UMNO tetapi dengan pendirian akan terus bergerak sendiri.

“Saya fikir itulah yang sebaik-baiknya sebab UMNO telah mencuba beberapa kali untuk memberikan ruangan yang secukupnya bagi mereka untuk terus mempersetujukan apa juga perkara yang terkandung di dalam piagam penyatuan ummah tetapi sikap mereka tidak begitu maka elok kita lupakan hasrat yang telah dinyatakan oleh mereka itu, ” ujarnya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid menjelaskan bahawa UMNO meraikan perbedaan pendapat dan tidak mengambil sikap yang keras tetapi menyantuni bagi mereka yang melanggar perlembagaan parti.

“Saya fikir kalau lembaga disiplin UMNO mahu mengambil tindakan bukan sekadar beliau (Razali Hamzah) tetapi ramai lagi bekas-bekas pemimpin sama ada yang jadi ahli Parlimen atau berada di luar kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi tindakan boleh diambil tetapi tidak mengambil sikap yang keras sebaliknya kita menyantuni dan meraikan perbedaan pendapat kecuali jika ianya merosakkan perpaduan parti.

“Tentu lembaga disiplin UMNO mempunyai budi bicara yang tertentu bagi mengambil tindakan-tindakan yang keras tetap selagi ianya hanya perbedaan pendapat tetapi tidak merosakkan parti sebagaimana yang berlaku pada beberapa orang yang diambil tindakan maka bersikap terbuka untuk menyantuni semua perbedaan-perbedaan pendapat,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.