Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu, Besarkan Anak Penuh Kasih Sayang – Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan penghargaan kepada kaum ibu di seluruh negara atas segala pengorbanan terutama menjadi tonggak utama dalam institusi keluarga.

Bersempena sambutan Hari Ibu pada hari ini, beliau malah berkata tiada jasa lebih besar daripada pengorbanan seorang ibu yang melahir dan membesarkan anak dengan penuh kasih sayang.

“Saya mengucapkan Selamat Hari lbu yang disambut pada 8 Mei 2022 kepada seluruh ibu di Malaysia. Sesungguhnya bagi saya setiap hari adalah ‘hari ibu’ kerana ibu adalah insan yang teristimewa.

“Ibu yang melahirkan dan membesarkan kita dan mereka jua mencurahkan bakti menjaga keluarga. Jasa dan kasih tidak terperi. Pengorbanannya tidak dapat diukur dan dibandingkan dengan apa jua… ibu perlu mendapat penghormatan yang tinggi. Bukankah syurga di bawah telapak kaki ibu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga mengingatkan anak-anak agar sentiasa memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada ibu semasa mereka masih ada.

“Justeru, kepada anak-anak sekalian tanpa mengira agama dan bangsa hargailah ibumu pada setiap masa… surahkanlah kasih sayang kepada mereka seperti mana mereka mencurah sepenuh kasih kepada kita.

“Ingatlah masa tidak pernah menunggu, maka gunalah segala kesempatan untuk kita menzahirkannya manakala kepada golongan suami sentiasalah menghargai isterimu yang merupakan ibu kepada anak-anak kamu.

“Betapa besar pengorbanan mereka dalam membesarkan dan mendidik anak-anak kita. Jangan sesekali disia-siakan pengorbanan mereka. Terima kasih ibu. Selamat Hari Ibu semua,” ujar beliau.

Ahmad Zahid juga turut berkongsi sirah Rasulullah S.A.W berkenaan seorang lelaki datang kepada Baginda dan berkata:

Wahai Rasulullah: “Saya ingin berjihad (berjuang) menegakkan agama Allah.”Rasulullah bertanya: “Apakah ibumu masih hidup?” Orang itu menjawab, ya. Rasulullah SAW bersabda. “Tetaplah engkau berada dekat di kaki ibumu itu, di sanalah syurga berada” [Riwayat At-Thabrani] – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.