Kuatkan Tekad, Satukan Hati, Bergerak Serentak Untuk Menang PRU- Saarani

BAGAN DATUK, 8 Mei – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed berkata selepas perayaan Aidilfitri ini terdapat satu raya yang sangat besar, bermakna dan penting iaitu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya dengan kekuatan, semangat dan momentum yang sedia ada UMNO akan mencapai kemenangan pada pilihan raya tersebut.

“Saya merayu kepada semua dan rakan-rakan terutamanya dalam negeri Perak ini kuatkan tekad, satukan hati, bergerak serentak untuk fokus dan paling penting memberikan kemenangan UMNO/BN pada PRU15, insya-Allah.

“Yang penting adalah menangkan pilihan raya dulu dan baru memastikan siapa yang nak pilih pemimpin akan datang dan paling penting dapatkan kuasa dan dengan kuasa dapat memberi bakti pada masyarakat.

“Kita nak menang pilihan raya sebab nak buat kebajikan untuk rakyat. Itulah slogan UMNO sama ada pada PRN Melaka, Johor iaitu bersoladiriti, kestabilan bagi membangunkan negeri dan memberikan kebajikan untuk rakyat. Mudah-mudahan rakyat sudah dapat membuat perbandingan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri semalam di Kompleks UMNO Bagan Datuk. Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rizam Ismail, Datuk Rosni Sohar serta kepimpinan UMNO Bahagian Bagan Datuk.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menasihati masyarakat agar jangan tersalah pilih lagi masa pilihan raya akan datang.

“Dulu sudah kita kata jangan pilih kerajaan lain. Tukar kerajaan bukan macam tukar baju. Kita sudah pesan tapi ramai yang tidak mahu dengar. Rakyat sudah merasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) pun sudah rasa tapi rakyat masih mengatakan bahawa BN juga yang terbaik.

“UMNO/BN cuma mahu menawarkan perkhidmatan, pengetahuan, pengalaman mentadbir dan menguruskan negara dan negeri dengan baik. Mudah-mudahan dapat mengembalikan negara sepertimana yang pernah dilakukan sebelum ini,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.