Patuhi Peraturan Jalan Raya, Elak Potong ‘Queue’ – Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, ini kerana kebanyakkan lokasi di seluruh negara masih dipenuhi kenderaan orang ramai yang masih melakukan aktiviti ziarah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Sedikit nasihat saya elakkan perbuatan potong queue jika berdepan kesesakan kerana itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati pemandu lain.

“Perbuatan itu bukan sahaja mengundang risiko kemalangan, malah boleh menimbulkan rasa kurang senang kerana dianggap mengambil hak orang lain.

“Perbuatan menggunakan lorong kecemasan amat perlu dielakkan kerana amalan ziarah menziarahi di Aidilfitri tidak pernah dikategorikan sebagai kecemasan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook sambil berkongsi video yang tular baru-baru ini.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, sambutan Hari Raya Aidilfitri ini merupakan manifestasi kepada bersyukur, kegembiraan dan bukan hari untuk saling berkonfrontasi di atas jalan raya terutama cuaca yang tidak menentu ketika ini.

“Video Tiktok yang dikongsikan kepada saya sebagai contoh yang berlaku, pihak penguatkuasa sentiasa berada di mana-mana.

“Umat Islam terapkan nilai kesabaran yang kita peroleh ketika berpuasa di bulan Ramadan dalam menuju ke destinasi masing-masing.

“Bagi bukan Muslim terapkan nilai toleransi yang amat tinggi dengan memahami kesibukan lalu lintas pasti berlaku di musim perayaan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.