Sambutlah Syawal Penuh Kesyukuran, Madrasah Ramadhan Jangan Sesekali Dilupakan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak umat Islam yang akan menyambut Aidilfitri untuk sama-sama melahirkan rasa syukur kehadrat Allah swt kerana telah memberi rahmat kesihatan untuk sama-sama merasai nikmat ibadah speanjang Ramadah yang lalu.

Katanya beberapa iktibar perlu diambil pada hari kemenangan itu nanti yang antara lain menuntut kepada soal kesabaran selain menginsafi segala ujian dan cabaran yang datang daripada Allah swt.

“Dimulai dengan kalam takbir sebagai menandakan tibanya detik kemenangan meraikan hari lebaran bulan kemuliaan. Marilah kita panjatkan kesyukuran kehadrat Allah swt kerana telah memberi rahmat kesihatan untuk kita merasai nikmat ibadah sepanjang madrasah Ramadan dan seterusnya menyambut hari raya Aidilfitri pada tahun ini.

“Alhamdulillah umat Islam sekali lagi dapat merayakan kemenangan kita…kemenangan dalam membersihkan fitrah mentarbiah rohani dan menguji fizikal serta menyambut 1 Syawal ini sebagai satu kemenangan mujahadah (yang tertinggi pengertiannya) seperti disifatkan Rasulullah s.a.w sebagai jihad bagi melawan nafsu.

“Beberapa iktibar perlu diambil pada hari kemenangan ini antaranya kita perlu banyak bersabar dan istiqamah dalam melakukan amalan baik dan mengisafi segala ujian dan cabaran yang diuji oleh Allah swt,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk seterusnya menambah dua tahun, Ramadhan dan Aidilfitri disambut dengan norma baharu, namun pada tahun ini ianya benar-benar mengajar erti bersyukur apabila boleh menyambutnya bersama keluarga serta sanak saudara yang lain.

“Dua tahun lalu kita menyambut Ramadhan dan Aidilfitri dengan norma baharu, namun pada tahun ini Alhamdulillah Aidilfitri ini benar-benar mengajar kita erti bersyukur…bersyukur kerana Allah swt memberi peluang kepada kita untuk beribadah dalam bulan yang mulia dan bersyukur kerana Allah mengurniakan kita Aidilfitri. Alhamdulillah negara sudah beransur pulih daripada fasa pandemik kepada endemik.

“Justeru ambillah peluang Aidilfitri ini untuk kita saling bermaafan dan mengeratkan serta saling berkunjung dan menziarahi sanak saudara serta rakan taulan seperti kebiasaaanya. Pulanglah ke kampung halaman untuk berhari raya disamping keluarga tercinta dan meraikan Syawal dengan selamat dan sederhana. Insya Allah pada hari yang mulia ini, sambutlah dengan segala adunan dan juadah, berpakaian baharu serta cantik dan hiasan yang berwarna warni bagi yang mampu. Memanglah kita harus bergembira dan menikmati pelbagai hidangan di hari raya,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan agar masing-masing turut mendoakan mereka yang berada di barisan depan khususnya angota keselamatan serta pasukan pertahanan dan sebagainya lagi.

“Semasa kita menyambut hari raya Aidilfitri yang mulia ini sebahagian daripada anggota tentera, polis dan pasukan keselamatan lain serta mereka yang berada di barisan depan sedang menjalankan tugas. Disamping kita merayakan hari yang mulia ini bersama dengan keluarga masing-masing marilah kita berdoa semoga mereka yang bertugas di barisan depan ini supaya sentiasa sihat dan selamat menjalankan tugas di samping terus mendoakan keluarga  mereka untuk bersama merayakan aidilfitri dan negara terus aman sejahtera.

“Kepada muslimin dan muslimat, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan semoga kita semua mendapat hidayah daripada Allah swt. Kepada saudara saudari yang bukan beragama Islam rayakanlah bersama rakan-rakan Islam yang yang lain.Bagi mereka yang akan menggunakan jalan raya, berhati-hatilah, biar lambat asalkan selamat. Pandulah dengan cermat  supaya hari raya tidak diselubungi dengan kesedihan serta kedukaan. Akhir kata saya dan keluarga memhon kemaafan kepada semua. Selamat Hari Raya Aidilfitri,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.