Syukuri Nikmat Hari Raya, Jangan Sia-siakan Keamanan Dimiliki Negara – Razlan
KUALA LUMPUR, 30 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii berpandangan kenikmatan menyambut Hari Raya Aidifitri dengan penuh keamanan adalah suatu kesyukuran buat umat Islam di negara ini.
Katanya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, sambutan ini juga perlu dilihat sebagai cerminan utama bagi ajaran Islam itu sendiri.
“Raikan hari raya ini dengan hati yang gembira… jangan kita sia-siakan keamanan yang telah terbina di negara kita.
“Kekalkan keamanan dan keceriaan agar rakyat Malaysia melihat Islam itu sebagai satu rujukan untuk dijadikan panduan dalam kehidupan mereka,” katanya kepada UMNO Online.
Razlan juga meluahkan bahawa sambutan hari raya ini adalah suatu kemenangan setelah melaksanakan ibadah puasa pada Ramadan lalu.
“Selamat hari raya kepada seluruh umat Islam, meraikan hari kemenangan selepas kita melaksanakan ibadah puasa selama sebulan.
“Saya dan juga keluarga ingin memohon ampun dan maaf menyusun sepuluh jari dari hujung rambut ke kaki sekiranya ada kesilapan atau tersalah cakap sepanjang setahun ini. Rayakan hari kemenangan ini dengan gembira dan bersyukur kepada Allah,” katanya lagi. – UMNO ONLINE
Oleh: Nurul Sa’adah Latib