Pembukaan Sempadan Negara Lonjak Ekonomi Johor

JOHOR BAHRU, 30 April – Pembukaan sempadan darat antara Malaysia-Singapura sejak 1 April lepas yang seiring dengan sambutan Aidilfitri membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi Johor susulan kemasukan ribuan warga republik berkenaan ke negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia sekali gus merancakkan semula pendapatan peniaga di bandar raya di sini, yang sebelum ini terjejas berikutan kekurangan pelanggan akibat pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah saya tengok memang ada kesan yang cukup positif, kalau kita tengok kesesakan di bandar Johor Bahru ini sebenarnya adalah tanda positif kepada ekonomi dan kita sebenarnya mengalu-alukan sebab ramai peniaga di Johor yang sebelum ini terkesan.

“Hari ini mereka mendapat rezeki apabila (pembukaan sempadan) kebetulan sama waktu dengan sambutan Aidilfitri dan ramai orang Singapura datang ke sini untuk membeli-belah, ini satu perkembangan positif,” katanya selepas melancarkan Program Jualan Semarak Syawal Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 2022 di Pasar Tani Jalan Datin Halimah di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Berhubung nilai ringgit merosot berbanding dolar Singapura dalam beberapa minggu ini, Onn Hafiz berkata secara asasnya ia akan memberi tarikan tambahan kepada rakyat Singapura untuk datang berbelanja di Johor berikutan harga barangan di negeri ini jauh lebih murah berbanding di negara mereka.

“Sudah tentu kerana ia jadi lebih murah bagi mereka, saya rasa ini membuatkan mereka lebih tertarik untuk berbelanja di sini dan ini akan menjadikan kuasa membeli lebih tinggi, apapun yang penting untuk peniaga di Johor dalam konteks itu bila ramai berbelanja di negeri ini, ia baik untuk mereka.

“Bagaimanapun saya berharap kejatuhan nilai ringgit ini hanyalah bersifat sementara dan kita mahu nilai ringgit kembali pulih serta kukuh untuk menstabilkan harga barang,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.