Menghampiri Penghujung Ramadan, Semoga Ditetapkan Iman Dan Istiqamah Dalam Perjuangan

Ramadan Oh Ramadan.

Ramadan Kareem semakin sampai ke penghujungnya. Saya berdoa agar saya, keluarga, para sahabat dan semua akan dapat bertemu sekali lagi Ramadan akan datang dengan ketakwaan yang makin bertambah dari hari ke hari.

Namun saya sedih melihat gelagat umat Islam khususnya para pemimpin Islam yang gagal menerapkan kefahaman berkaitan agama kita dalam penghidupan seharian.

Betapa Addin dipandang mudah dan tidak dititikberatkan.

Negara pemimpin Islam sama ada di Timur Tengah, Afrika atau Asia Tenggara juga kebanyakan pemimpinnya hanya memikirkan bagaimana cara mereka untuk mengekalkan kuasa dan tidak memikirkan bagaimana nasib ummah yang ditadbir, bagaimana nasib rakyat dan agamanya malah pendekatan berkaitan agama dipandang mudah dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan hinggakan tahun berganti tahun.

Saya mengambil satu perkara mudah sebagai contoh iaitu konsep halal yang disebut-sebut selalu. Halal itu terlalu besar maksudnya iaitu bukan hanya berkaitan sembelihan semata-mata sebaliknya penyediaan, kebersihan dan kualitinya juga.

Lebih dari itu ada makanan segera dan makanan proses yang dikeluarkan oleh mereka yang bukan Islam dengan konsep pengetahuan berkaitan halal hanyalah berkait dengan sembelihan dan mengabaikan keperluan terhadap hal-hal lain. Lantas apakah hukumnya?

Saya amat sedih kerana kebanyakan kita mengambil mudah hal-hal remeh berkaitan Islam.

Di sini, saya mengingatkan diri saya sendiri dan rakan-rakan lain untuk mengutamakan apa yang menjadi wajib malah amanah yang terpikul di bahu sebagai pemimpin juga akan dipersoalkan kelak. Inilah yang saya mohon agar kesedaran kita terhadap hal-hal remeh berkaitan agama tidak dipandang mudah.

Islam ini amanah juga untuk kita. Islam bukan topeng mainan atau bahan politik sebagaimana jadi tunggangan segelintir parti namun apabila mendapat jawatan semuanya didiamkan dan tidak lagi menjadi keutamaan perjuangan.

Tradisi masyarakat kita sebenarnya dari dahulu amat menekankan berkaitan pendekatan Islam namun diaplikasi secara tertutup tapi menjadi budaya berterusan.

Konsep pemilihan bekas makanan misalnya penggunaan daun pisang, pinggan tembaga, tin dan pinggan plastik yang semuanya bebas dari penggunaan bahan campuran buatan bahan larangan termasuk tulang haiwan sebagaimana dilakukan negara tertentu ketika ini.

Namun secara perlahan ianya ditukar malah kita berbangga menggunakan pinggan import dan sebagainya tanpa tahu apa bahan diguna.

Bukankah ada dinyatakan bahawa antara hal yang dipelajari Zionis untuk melemahkan Islam adalah mengkaji cara hidup sehinggakan hal-hal yang kecil dalam agama kita pun diambil tahu.

Tujuannya agar kita leka terhadap hal-hal remeh dan sanggup melakukan perkara-perkara terlarang tanpa disedari. Nauzubillahiminzalik. Moga Allah SWT terus lindungi kita semua.

Sehubungan itu, saya merayu dan mengingatkan diri saya sendiri serta para pemimpin Islam, berdoa sesungguh hati agar terus ditetapkan iman, istiqamah dalam perjuangan Islam dengan berpandukan kepada Al-Quran dan Hadis.

Moga kita semua dijauhkan daripada fitnah, dijauhkan daripada rasuah dan dijauhkan daripada laknat Allah SWT, malah terus dipelihara kehidupan hingga ke akhirat kelak.

Saya mohon maaf pada semua, saya adalah insan kerdil dan hina di sisi-Nya namun saya sayangkan agama, bangsa dan negara saya. Wallahu A’lam. – UMNO ONLINE

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Bendahari UMNO
Ahli Parlimen Putrajaya

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.