Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Berperanan Kurangkan Risiko Kemalangan – UMNO PJ

PETALING JAYA, 29 April – UMNO Bahagian Petaling Jaya mengajak rakyat untuk peka dengan keselamatan jalan raya apatah lagi menjelang sambutan hari raya Aidilfitri.

Naib Ketua Bahagiannya, Dazma Shah Daud berkata ini kerana keadaan kawasan setempat memainkan peranan penting malah ianya turut sama memberikan risiko kepada pemandu kenderaan dan penduduk sekitar.

“Keselamatan jalan raya perlu dititikberatkan kerana dalam keadaan penduduk setempat yang begitu padat dan pergerakan begitu banyak sama ada kenderaan kecil dan besar ini boleh mengakibatkan kemalangan.

“Kita harap komuniti-komuniti setempat memainkan peranan yang lebih baik dalam menjaga keselamatan jalan raya.

“Kesedaran masyarakat juga pentingnya terutama waktu kita hendak menyambut hari raya seperti di Taman Datuk Harun di Taman Medan ini ribuan kenderaan lalu terutama di kawasan-kawasan utama di sini jadi kesedaran ini amat penting supaya kita dapat menyambut perayaan ini dengan selamat,” ujar beliau selepas ditemui pada Program Pelancaran Kempen Keselamatan Komuniti Hari Raya Aidilfitri.

Menerusi itu pihaknya bersama badan bukan kerajaan (NGO) Kogiran dan Komuniti Rukun Tetangga Flat PKNS Taman Datuk Harun memasang tiang fleksibel keselamatan sebagai kesedaran kepada penduduk sekitar terutama di kawasan parkir kenderaan kerana ianya menjadi antara punca kesesakan di kawasan ini.

“Kerjasama mereka dan komitmen seperti ini yang kita mahukan terutama di kawasan perumahan seperti di sini selepas mengalami satu kejadian yang tidak diingini apabila ada dua orang kanak-kanak terlibat dalam satu kemalangan.

“Ini bukan salah siapa-siapa saya juga telah berjumpa dengan keluarga mereka… kejadian yang berlaku ini juga adalah kerana keadaan sekeliling kita di mana laluan yang agak sempit, kenderaan yang tidak dapat dikawal keadaannya.

“Simbolik ini kita memasang tiang fleksibel keselamatan di sepanjang jalan di kawasan ini untuk menggelakkan kenderaan diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya ini juga boleh menjadi punca kepada kemalangan jalan raya,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.