Aidilfitri Tautkan Kembali Kasih Sayang, Jernihkanlah Apa Yang Keruh – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap seluruh umat Islam di negara ini dapat menggunakan sepenuhnya peluang pada sambutan Aidilfitri yang akan disambut dalam beberapa hari sahaja lagi.

Katanya saat-saat Aidilfitri pada tahun ini adalah sesuatu yang amat dinantikan setelah dua tahun ianya disambut dalam norma baharu serta berjauhan dengan keluarga serta sanak saudara.

“Dalam masa beberapa hari saja lagi kita akan menyambut hari raya Aidilfitri dan saya pasti Aidilfitri kali ini akan menjadi hari yang sangat kita tunggu-tunggu dan cukup istimewa kepada kita semua setelah dua tahun terhalang untuk beraya bersama keluarga. Dua tahun kita tidak dapat meraikan Aidilfitri dengan gembira dan dalam masa dua tahun ini juga ada yang meraikan Aidilfitri dengan linangan air mata kerana kehilangan ahli keluarga dan rakan taulan yang tercinta.

“COVID-19 ini adalah merupakan dugaan dan cabaran yang amat besar kepada kita semua. Alhamdulillah tahun ini kita mendapat kembali peluang untuk bergembira bersama keluarga dan ini adalah merupakan satu peluang yang sangat-sangat dinanti-nantikan dan bersama.

“Mana yang masih ada ayah dan ibu, pulanglah untuk bertemu dengan mereka. Mana yang berjauhan dengan adik-beradik yang lain maka ambillah masa keemasan ini untuk kita berkumpul dan cipta memori indah dan ketenangan bersama-sama,” ujar Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.

Beliau seterusnya mengharapkan agar Syawal pada kali ini dapat menjernihkan apa yang keruh untuk mentautkan kembali silaturahim yang telah terputus dan yang penting untuk memperbaiki hubungan.

Kata beliau lagi, tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan tetapi manusia itu juga silap jika tidak berusaha untuk membetulkan kesilapan mereka dan berharap ukhuwah yang telah bina sejak sekian lama dan dapat diperkukuh dan dipertautkan.

“Di kesempatan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf kepada semua rakan-rakan, sahabat taulan. Jika ada sebarang kekurangan sepanjang tempoh saya memikul tanggungjawab yang diberi oleh rakyat dan ahli parti.

“Sesungguhnya saya juga adalah merupakan manusia biasa yang tidak sempurna tetapi saya berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Insya-Allah, kita sama-sama perbaiki diri kita.

“Sedikit ingatan dan pandangan saya supaya dalam kita bergembira untuk menyambut Syawal ini cubalah untuk kita mempertingkatkan menjaga SOP (prosedur operasi standard) dan COVID-19 ini masih berada di sekeliling kita. Jangan jadikan hari ini yang sepatutnya kita bergembira tetapi diakhiri dengan linangan air mata,” kata Ahli Parlimen Jelebu itu.

Seterusnya, Jalaluddin mendoakan agar semua berhati-hati di jalan raya.

“Semoga semua selamat pulang ke kampung, sentiasa berhati-hati di jalan raya, jika kita terfikir untuk melakukan atau memandu terlebih had yang telah ditentukan, kita kena ingat warga yang sentiasa menanti dan mengharapkan keberadaan kita bersama mereka.

“Semoga kehidupan kita sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan dari Yang Maha Esa. Salam Aidil Fitri, Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.