Selamat Menyambut Hari TLDM, Hargai Jasa Pengorbanan Jaga Perairan Negara

KUALA LUMPUR, 27 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan penghargaan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan pengorbanan dan jasa mereka dalam menjaga perairan negara.

Katanya, sebagai bekas Menteri Pertahanan beliau sangat berbangga dengan komitmen pasukan ini dalam memberi perkhidmatan terbaik buat tanah air tercinta.

“Pasukan keselamatan negara sentiasa amat dekat di hati saya. Walaupun di Tanah Suci mengerjakan umrah, namun para perajurit kita sentiasa dalam ingatan. Justeru dari kejauhan saya ucapkan selamat menyambut Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-88.

“Seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pengorbanan anda semua menjaga keselamatan Malaysia.

“Memastikan tiada anasir yang menganggu-gugat kedaulatan perairan negara pada setiap masa. Turut menabur budi dalam membantu misi-misi mencari dan menyelamat mangsa di laut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga turut mengharapkan pasukan ini terus diberikan kekuatan.

“Saya di sini mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat para wira mempertahankan kemakmuran tanah air.

“Semoga sambutan Hari TLDM pada tahun ini memberi makna yang besar buat seluruh warganya,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.