PasLeak: Politik Kita Perlu Berubah… Jika Tidak Jadi ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’ – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 27 April – Timbalan Ketua UMNO Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin melihat dakwaan yang mengaitkan kebocoran minit mesyuarat Pas baru-baru ini memberikan pelbagai tafsiran dalam politik negara antara lain tentunya memerlukan gelombang baharu dengan pendekatan serta pelbagai soal lain.

Kata beliau jika perkara itu tidak dapat dilakukan percayalah sistem politik negara akan kekal berada di takuk lama dan tidak akan ada perubahan malah secara sinis menyebutkan sepertimana kata orang Utara, ‘pi mai pi mai, tang tu’.

“Saya tidak mahu mengulas tentang ketulenan dokumen tersebut dan bagaimana ia harus mendefinisikan hubungan Pas dengan UMNO/BN selepas ini. Yang demikian harus diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti besar ini.

“Namun, saya ingin menyimpulkan kebocoran dokumen tersebut di bawah tiga peribahasa, yang secara tidak langsung menggambarkan bentuk dan jenis amalan politik yang kita ada. Pertama, menangguk di air keruh. Jika strategi dan perbincangan seperti yang tertera dalam dokumen tersebut adalah benar, ia menunjukkan bahawa politik kita masih sangat bersifat mengambil kesempatan.

“Ia tidak berasaskan pertembungan idea yang besar dan siapakah yang lebih bersedia membawa solusi kepada masyarakat dan negara. Ia tidak berkisar tentang siapakah yang mempunyai calon lebih berwibawa dengan agenda masa depan yang jelas.

“Tetapi kesemuanya tentang bagaimana hendak mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain. Ini bukan budaya yang baik dan wajar menjadi amalan. Baik kepada Pas, baik kepada UMNO/BN malah kepada mana-mana sahaja parti politik,” ujarnya.

Ujar beliau lagu, perkara kedua yang dapat dilihat ialah sikap baling batu sembunyi tangan.

“Keduanya… politik adalah tentang keberanian mengambil pertanggungjawaban. Ia adalah pertarungan bersifat anak jantan. Berani buat berani tanggung. Bukannya satu peraduan cuit mencuit tanpa keberanian untuk mengaku dan mengambil pertanggungjawaban. Bukan juga pentas untuk mereka yang bermuka-muka.”

Tegasnya, politik dan demokrasi negara kita tidak akan matang dan berkembang jika kita terus melayan dan mengangkat polemik atau drama yang dibawa oleh mereka yang tabiatnya suka membaling batu lalu sembunyi tangan.

“Ketiga, seekor kerbau terpalit lumpur, semua terkena. Saya fikir ini adalah peringatan terbesar untuk diri saya sendiri dan semua mereka yang terlibat dan berminat dengan politik. Politik ini pada sifat asasnya itu bukanlah kotor. Namun, saya akui di dalamnya ada lumpur. Dan kadang kala sangat berselut dan hanyir.

“Kegagalan kita untuk membawa diri dengan baik akan memberi kesan kepada semua pihak. Terutamanya rakan-rakan seperjuangan kita. Justeru, marilah kita mengambil isu ini sebagai peringatan untuk sentiasa membaiki diri dan memastikan kita tidak menjadi sang kerbau yang membawa lumpur kepada kumpulannya.

“Yang pasti, kebocoran dokumen minit mesyuarat Pas ini menunjukkan yang politik dan amalan demokrasi Malaysia mendambakan satu gelombang baharu dengan pemain baharu, pendekatan baharu dan pemikiran baharu. Jika, kita akan kekal di takuk lama. Bak kata orang Kedah, pi mai pi mai, tang tu,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.