‘Khemah Besar’ Atau ‘Khemah Kecil’ …. Pembangkang Tidak Boleh Jual Isu Lama – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 27 April – ‘Khemah besar’ di kalangan parti-parti pembangkang yang hari ini masih menjadi topik perbualan bukan sahaja memberikan pelbagai tafsiran malah yang terkini kesanggupan PPBM sendiri untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam mewujudkan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) turut mengundang pelbagai kenyataan.

Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam apa jua keadaan, yang penting dan utama adalah kesiapsiagaan jentera parti UMNO dan BN itu sendiri bagi menghadapi PRU akan datang.

Malah beliau turut melontarkan keyakinan apa yang dicapai oleh pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu dengan berpaksikan kepada fitnah serta adu domba terhadap pimpinan tertinggi tidak akan dapat dilakukan sekali lagi pada kali ini.

“Pengalaman mereka bergabung dalam PRU-14 yang lalu membuahkan hasil… dan ini mereka jadikan tanda aras untuk melawan UMNO dan BN pada PRU akan datang. Tetapi mereka harus ingat dalam PRU-14 dengan PRU-15 adalah dua perkara yang berbeza.

“Pertama kerana mereka berjaya mewujudkan rasa tidak percaya rakyat kepada BN pada PRU-14 dan antara klimaks yang tidak boleh berulang lagi kerana janji-janji kosong serta fitnah dan adu domba yang mereka buat kepada pemimpin parti pada PRU-14 tidak  boleh diulang dan perkara ini tidak akan diterima oleh rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.

Sebelum ini dilaporkan, PPBM bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi memastikan BN berdepan saingan satu lawan satu pada PRU ke-15 akan datang.

Tanpa menamakan mana-mana parti, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin dilapor berkata ketika ini parti itu masih di peringkat awal rundingan bagi menawarkan formula “menang-menang” antara mereka supaya dapat mencapai agenda berkenaan.

Jumaat lepas, Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail berkata gabungan itu bersedia untuk berunding dan berbincang dengan mana-mana parti politik untuk bekerjasama dalam menghadapi PRU15.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang menggesa kepimpinan PH untuk tidak terus menutup ruang perbincangan bersama semua parti politik blok pembangkang menjelang PRU-15.

Jalaluddin seterusnya menambah dalam apa jua keadaan, jangan terlalu yakin dan jangan terlalu ke depan kerana yang penting kesiapsiagaan parti pelbagai peringkat mampu menterjemahkan kejayaan kepad aparti kelak.

“Kerana itu kalau mereka bergabung sebagai gabungan besar saya yakin ianya tidak akan memberi kesan besar kepada UMNO/BN tetapi yang penting bagi UMNO dan BN jangan terlalu yakin dan bagi kita kesiapsiagaan pemimpin serta ahli akar umbi, semua jentera mesti dilipatgandakan dari semasa ke semasa,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.