#QuranHour: PM Seru Masjid, Surau Dan Individu ‘Interaksi’ Dengan Al-Quran

KUALA LUMPUR, 26 April – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob menyeru organisasi masjid, surau dan individu meluangkan masa di lokasi masing-masing untuk ‘berinteraksi’ dengan Al-Quran selama satu jam bermula 12 tengah hari, ini.

Beliau berkata ini bersempena penganjuran World #QuranHour (WQH) 2022 yang bertemakan ‘Dunia Bersujud’ dengan memilih surah ke-32 iaitu Al-Sajdah sebagai surah utama.

“WQH memilih surah Al-Sajdah sebagai surah utama yang mengajak orang ramai untuk menghayati erti sebenar bersujud dengan penuh keyakinan kepada Allah SWT, yang dapat membuang sifat ego atau sombong untuk berjaya di dunia dan akhirat.

“Surah itu juga menjadi panduan untuk kerangka minda dan penyatuan ummah melalui aspek ekonomi dan pendidikan, sekali gus memberi kekuatan kepada kita dalam menghadapi ujian dengan bersujud kepada Allah SWT,” katanya dalam ucapan khas sempena WQH menerusi video yang dimuat naik dalam akaun Facebook WQH malam tadi.

Perdana Menteri berkata walaupun program itu berlangsung selama sejam, beliau berharap WQH mampu menaikkan imej Islam sekali gus memupuk pembudayaan Al-Quran dalam kehidupan daripada segi pembacaan, penghayatan dan amalan.

“Harapan saya surah ini bukan sekadar dibaca tetapi diamalkan dalam kehidupan kita. Semoga usaha baik untuk mendekatkan masyarakat dengan Al-Quran seperti dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan rakan sinergi dapat diteruskan dan dirahmati,” katanya.

Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan, kepada rakan sinergi WUIF, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Pusat Pelancongan Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Sinar Harian, TV AlHijrah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Majlis Permuafakatan Angkatan NGO-NGO Malaysia (MAPAM) di atas penganjuran World #QuranHour 2022.

World #QuranHour kembali untuk tahun ketujuh membawakan tema ‘Dunia Bersujud’ sebagai usaha memperkukuhkan gelombang gerakan ‘Baca, Faham dan Amal Al-Quran’ dalam kalangan masyarakat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.