Khidmat Bakti Bersama Rakyat Amalan UMNO/BN, Norsabrina Raikan OKU Sedia Kelengkapan Aidilfitri

BANDAR BAHRU, 26 April – Melaksanakan khidmat bakti demi rakyat sebagaimana meraikan Orang Kurang Upaya (OKU) adalah antara inisiatif yang sentiasa menjadi UMNO/Barisan Nasional (BN) ketika menjelangnya musim perayaan termasuklah sambutan Aidilfitri.

Lebih dari itu, amalan menyantuni rakyat pelbagai peringkat adalah saluran terbaik dalam mengimarahkan bulan Ramadan.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Nor mengaplikasi setiap ruang untuk rakyat sebagaimana mandat yang terpikul dibahunya adalah amanah untuk membantu masyarakat.

“Ini adalah amalan UMNO sejak dahulu lagi iaitu menyantuni masyarakat pelbagai peringkat umur dan pelbagai latar belakang dengan cuba menyelami keperluan mereka sebagaimana kami gerakkan usaha bagi membeli kelengkapan menjelang hari raya,” katanya.

Jelasnya, program berkaitan dijalankan dengan kerjasama Pasaraya Mydin, yang memberikan sumbangan dalam bentuk boucer bernilai RM100 setiap seorang.

“Peruntukan ini kami gabungkan bagi membolehkan anak-anak ini membeli kelengkapan hari raya, seperti baju, kasut dan sebagainya di Mydin. Anak-anak istimewa ini dibawa oleh waris dan juga ibubapa yang gembira dapat memilih sendiri segala kelengkapan hari raya.

“Saya juga telah menaja untuk berbuka puasa di PPDK Cahaya Kristal, dan memberikan duit raya bagi meraikan anak-anak ini. Sudah dua tahun mereka tidak terlibat aktif melakukan aktiviti di PPDK kerana terkesan dengan pandemik COVID-19.”

Menurut Norsabrina, ini adalah program tahunan yang dijalankan bersama PPDK Cahaya Kristal, malah anak-anak di sini dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran termasuk menganyam bakul rotan, dan kraftangan lain.

“Insya-Allah inisiatif ini akan diperluas bagi meraikan golongan yang memerlukan melibatkan sambutan kebesaran lain pada masa depan,” katanya.
Dalam masa yang sama beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa berusaha dan menyokong program sedemikian termasuklah Pasaraya Mydin Parit Buntar. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.