Buku Modul Komunikasi Sains Dilancar, Mudah Difahami Masyarakat

KUALA LUMPUR, 26 April – Buku Modul Komunikasi Sains YSN-ASM (Young Scientist Network-Akademi Sains Malaysia) yang dilancarkan hari ini menjadi rujukan dalam menyampaikan komunikasi sains yang mudah difahami masyarakat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata buku itu juga mampu menarik minat generasi muda menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menurutnya, buku berkenaan memberi kemudahan kepada saintis, penyelidik, guru, malah pengamal media untuk menyampaikan komunikasi sains yang lebih berkesan kepada kumpulan sasar.

“Sebagaimana ramai antara kita sedia maklum, para saintis lazimnya menggunakan istilah sains yang teknikal, sukar difahami dan kompleks. Melalui buku ini, pembaca dapat memperoleh tip untuk mengetahui langkah-langkah serta pendekatan komunikasi sains dengan cara yang lebih menarik dan mudah difahami.

“Melalui komunikasi sains yang jelas, masyarakat mahupun pelajar dapat memahami dengan lebih teliti mengenai perkara- perkara yang berlaku di sekeliling,” katanya ketika berucap melancarkan buku tersebut di sini hari ini.

Maklumat lanjut dan pratempahan buku berkenaan boleh didapati menerusi laman web www.akdemisains.gov.my/science-communication.

YSN-ASM merupakan satu inisiatif dalam usaha ASM bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menyediakan pelapis kepimpinan terbaik dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) yang pelbagai.

ASM menyediakan platform YSN bagi menjalankan aktiviti dan bengkel mengikut kepakaran dalam bidang masing-masing dan sehingga kini telah mengiktiraf 225 saintis muda terbaik di negara ini.

Sementara itu pada sidang medianya, Dr Adham berkata buku seumpama itu melengkapkan lagi ekosistem untuk melahirkan lebih banyak bakat dalam bidang sains dan teknologi.

“Dengan adanya bakat-bakat ini, saya yakin usaha kerajaan Keluarga Malaysia untuk memastikan teknologi yang akan kita ketengahkan (adalah) berasaskan kepada kepakaran yang ada dalam negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sesi libat urus secara tertutup bersama Saintis Muda YSN-ASM sebelum majlis pelancaran buku itu telah membincangkan pelbagai perkara, antaranya usaha supaya penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka boleh lebih diyakini serta terpakai ke peringkat antarabangsa.

“Isu yang kedua adalah adoption (penerimagunaan), kita perlu menerima penggunaan teknologi seawal mungkin. Untuk itu, perkara yang kita bincangkan ialah bagaimana usaha kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk memastikan pembangunan eksperimen akan kita perkasakan, pertingkatkan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.