Pembangunan Jadi Agenda Penting, Onn Hafiz Realitikan Janji BN/UMNO

KULAI, 25 April – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merealitikan antara janji manifesto Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan mengaplikasi pembangunan sebagai angenda utama selepas kestabilan dicapai.

Semalam, beliau yang telah berkunjung ke Kulai mengakui bahawa daerah terbabit akan dipastikan untuk terus membangun sebagaimana kawasan-kawasan yang lain.

“Terima kasih warga Kulai yang menerima kehadiran saya pada majlis berbuka puasa semalam.
Sebelum majlis tersebut, saya turut mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah, Tuan Haji Zainor Adani tentang hala tuju pembangunan, potensi dan kebitaraan daerah ini.

“Dengan kedudukannya yang strategik, menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan daerah Kulai terus membangun seperti daerah-daerah yang lain,” katanya menerusi hantaran dalam laman facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap memaklumkan seramai kira-kira 400,000 penduduk menetap di daerah Kulai.

“Namun, usaha itu memerlukan kerjasama erat antara pemimpin dan agensi di daerah-daerah dengan kepimpinan di peringkat negeri,” katanya yang merujuk kepada pembangunan Kulai.

Dalam masa yang sama, beliau juga berkesempatan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Persatuan Pemandu Teksi Daerah Kulai serta mengagihkan bubur Southern Volunteers Daerah Kulai kepada rakyat di Terminal Bas Daerah Kulai.

Terdahulu beliau merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua pihak khususnya warga Kulai dan para pegawai terlibat atas sambutan dan layanan yang diberikan kepada beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.