Demi Kepentingan Peribadi Dan Kuasa, Tak Mustahil Wujud PH 2.0 Untuk Perdaya Rakyat – Azhari

KUALA LUMPUR, 25 April – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan sinis dengan gabungan antara parti yang bakal dibentuk seperti yang dimaklumkan oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muyiddin Yassin.

Bagaimanapun katanya tidak mustahil gabungan di antara PPBM dan parti lain itu akan terbentuk namun jelas beliau ianya juga diibarat seperti menyatukan kembali parti-parti yang pernah memperdaya rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kalau menjadi gabungan ini maknanya balik kepada asal parti yang pernah menipu rakyat bergabung semula kerana sebelum ini Muhyiddin juga adalah sebahagian daripada PH.

“Tidak ada yang mustahil boleh jadi Pakatan Harapan 2.0, Perikatan Nasional Harapan ke atau nama-nama lain yang akan dikeluarkan pada pilihan raya nanti maknanya dari segi asasnya kemungkinan ada gabungan parti-parti yang akan menentang Barisan Nasional (BN).

“Berapa jumlah parti kita pun tidak dapat hendak anggarkan tapi mesti ada… sama ada parti lain percaya atau tidak terpulang kepada mereka mungkin ada yang percaya mungkin juga ada yang sebaliknya,” katanya ketika dihubungi oleh UMNO Online.

Azhari juga menambah bahawa kerjasama tersebut juga adalah demi kepentingan dan mempergunakan parti-parti lain untuk mendapatkan kuasa.

Katanya lagi, meskipun pelbagai perkara direncana oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu namun ianya belum mampu untuk meraihkan kepercayaan rakyat seperti fenomena yang dicapai BN pada pilihan raya negeri dan kecil sebelum ini.

“Mungkin atas dasar hendakkan kuasa bukan hendak buat kerja untuk rakyat sedangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga boleh terima apa yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad inikan pula Muhyiddin, kalau ikutkan lagi besar kes Anwar dan Mahathir.

“Saya juga lihat rakyat tidak akan beri peluang kepada mereka berdasarkan trek rekod di Melaka, Johor dan juga PRK.

“Kita tidak nampak apa juga formula atau strategi yang mereka hendak pakai, rakyat saya rasa tidak mahu tertipu sudah cukup-cukuplah yang jadi sebelum ini,” tegas beliau.

Terdahulu, Muhyiddin mengatakan bahawa sedia bincang dengan parti lain bagi memastikan BN berdepan saingan satu lawan satu pada PRU15.

Tanpa menyebut mana-mana parti, beliau bagaimanapun berkata pada ketika ini parti tersebut masih di peringkat awal perbincangan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.