Apakah Akan Berulang PH 2.0…? Demi Kuasa Sanggup Korban Prinsip – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 25 April – Semalam PresidenParti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor memaklumkan bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi memastikan Barisan Nasional (BN) berdepan saingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam hantaran menerusi laman facebooknya bertanya, “Apakah akan berulang PH 2.0?”

“Nampak jelas kerana kuasa dan kedudukan apa saja mereka akan dilakukan biarpun terpaksa gadai dan korbankan prinsip yang dilaungkan sebelum ini.

“Niatnya satu, hanya mahu pastikan BN kalah, dan realitinya, perjuangan mereka bukan kerana mahu membela rakyat dan negara. Itulah hakikatnya,” katanya.

Tegas beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ahli Parlimen Lenggong menegaskan bahawa apa yang pasti jika kerjasama ini berlaku maka berulanglah sejarah 22 bulan Malaysia di zaman PH.

“Ia akan menjadi PH 2.0. Pasti kita masih ingat apa yang terjadi pada Malaysia. Banyak kerosakan berlaku. Kerana itu, jangan lagi mereka diberikan peluang.”

Katanya lagi, Malaysia mesti bergerak kehadapan dan sampai masanya kita buang mereka jauh-jauh.

Ini berikutan PH yang ditubuhkan sebelum PRU14 adalah gabungan daripada parti-parti pembangkang yang tujuan utamanya adalah untuk menumbangkan BN selaku kerajaan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dipetik berkata persefahaman antara parti politik itu penting bagi mengelak perpecahan undi seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

Gabungan terbabit berjaya menafikan BN untuk menang dalam PRU14 walaupun BN lebih 60 tahun mentadbir negara namun kemudiannya pentadbiran PH hanya bertahan 22 bulan dan tumbang akibat tindakan mereka sendiri apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Terdahulu, Jumaat lalu, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata gabungan itu bersedia untuk berunding dan berbincang dengan mana-mana parti politik untuk bekerjasama dalam menghadapi PRU ke-15.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menggesa kepimpinan PH untuk tidak terus menutup ruang perbincangan bersama semua parti politik blok pembangkang menjelang PRU15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.