Memperkukuh Kerjasama Strategik Di Antara Parti Dan Kerajaan – Hasni

KUALA LUMPUR, 24 April – Kerjasama di antara parti dan kerajaan negeri akan kekal dimantapkan, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu, parti akan sentiasa menyokong penuh kepimpinan Kerajaan Negeri menerusi cadangan, kritikan dan syor yang munasabah untuk pertimbangan Menteri Besar, di samping inisiatif sedia ada Kerajaan Negeri.

“Oleh yang demikian, satu Jawatankuasa Penyelaras Hubungan Kerajaan-Parti akan ditubuhkan.

“Ia bakal dianggotai oleh empat orang ahli daripada UMNO Johor dan empat orang ahli daripada Kerajaan Negeri.

“Jawatankuasa ini akan memberi syor dasar dan polisi pro-rakyat untuk dilaksanakan Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya malam tadi.

Selain itu jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu, UMNO Johor juga menekankan pelaksanaan dan implementasi Ikhtiar BN Johor serta gerak kerja Belanjawan Johor 2022.

“Pelaporan kepada umum akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kita akan bersama-sama ikhtiarkan, bahawa yang terbaik, hanya dengan BN,” katanya.

Malam tadi, diadakan mesyuarat dan Majlis Berbuka Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.