Janganlah Terlalu Laju Ke Depan, Biarkan Proses Perbicaraan Berjalan

KUALA LUMPUR, 23 April – Sejak  Mac lalu perbicaraan kes penderaan adik Bella hangat diperkatakan di media sosial dan media massa, malah amat difahami sesiapa pun yang membaca kisah adik Bella ini akan merasa geram dan marah dengan penderanya serta berharap dijatuhkan hukuman yang seberat-beratnya.

Namun pada masa yang sama Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berharap netizen tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman dan sebagainya lagi kerana kes masih berjalan di Mahkamah.

“Pada pandangan saya, sebagai orang awam yang hanya mengikuti laporan kes ini melalui media sosial, cetak dan elektronik, tidak adil rasanya jika kita terus mencerca, memaki hamun dan menghina Orang Kena Tuduh (OKT) iaitu Siti Bainun, Pengasas Rumah Bonda sedangkan perbicaraan kes tersebut sedang berjalan di mahkamah.

“Saya menyeru agar netizen tidak sewenang- wenangnya menjatuhkan hukuman kepada OKT kerana adalah sangat penting kepada kita semua untuk menghormati prinsip undang-undang yang diamalkan di negara ini.  Artikel 11 Pengistiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948) juga turut memperuntukkan hak “seseorang itu tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan bersalah”. (innocent until proven guilty).,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online.

Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat seterusnya memohon agar diberikan ruang kepada pihak yang terlbat dalam perbicaraan kes berkenaan untuk menjalankan tugas serta tanggungjawab masing-masing.

“Dalam konteks ini, saya percaya dengan kreadibiliti sistem kehakiman negara kita yang telus dalam menghakimi sesuatu kes. Saya juga yakin pendera adik Bella akan kita ketahui tidak lama lagi berdasarkan bukti-bukti dan hujah-hujah yang dikemukakan satu persatu.

“Apa yang pasti, pelaku yang mendera bella tidak akan terlepas dari hukuman. Oleh yang demikian, adalah sangat penting bagi kita untuk membiarkan pihak mahkamah dan pihak yang terlibat dengan perbicaraan menjalani perbicaraan tersebut dengan aman dan lancar. Netizen juga tidak perlu khuatir kerana dengan keprihatinan YM Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail dan isteri baginda, Cik Puan Besar Khaleda, empat orang peguam pemerhati telah ditugaskan utk memastikan ketelusan proses undang-undang sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung. Setinggi-tinggi penghargaan saya rafakkan buat tuanku berdua.” ujarnya.

Selain itu, ujar beliau lagi Kementerian Wanita dan Keluarga juga telah mengambil tindakan sewajarnya mengenai kes ini namun ianya tidak diwar-warkan secara meluas dan oleh kerana dunia hari ini teknologi dihujung jari, maka kontroversi kes ini telah tersebar laju membelakangi usaha-usaha yang telah diambil oleh pihak kerajaan.

“Oleh yang demikian, sekali lagi saya ingin menyeru kepada masyarakat agar sama-sama menjaga emosi dan tingkah laku kerana bukan kita sahaja yang mengikuti kes ini tetapi seluruh dunia juga sedang memerhati.

“Kepada kaum wanita di luar sana, saya ingin menyeru agar kita dapat berfikir secara rasional, jaga emosi setiap masa, cari saluran yang betul jika tertekan atau mengalami sebarang masalah dan jangan jadikan kanak2 atau OKU sebagai mangsa melepaskan amarah. Saya berharap kes adik Bella ini dapat dijadikan iktibar dan tidak akan berlaku lagi di masa hadapan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.