Zahirkan Prinsip Pemeliharaan Maslahah Dalam Dasar – PM

PUTRAJAYA, 22 April – Dengan mengambil kira Islam sebagai agama Persekutuan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu setiap kementerian dan agensi menzahirkan prinsip pemeliharaan maslahah dalam setiap dasar yang digubal.

Beliau berkata prinsip pemeliharaan maslahah itu menekankan perkara-perkara universal dan bersesuaian untuk seluruh ahli Keluarga Malaysia yang mendambakan kesejahteraan dan keharmonian antara kaum dan penganut pelbagai agama.

“Ia tidak mengehadkan amalan dan kepercayaan agama lain, tetapi ia menuntut nilai kebersamaan dalam memelihara hubungan sesama kita,” katanya ketika merasmikan sesi Town Hall dan melancarkan Buku Keluarga Malaysia Sejahtera di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata memelihara kemaslahatan merupakan manifestasi kesejahteraan kerana kemaslahatan itu merupakan inti pati dalam objektif pensyariatan Islam yang sentiasa disebutkan sebagai pendekatan Maqasid Syariah.

Pada September lepas pada satu persidangan anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, beliau telah menyatakan bahawa Maqasid Syariah perlu dijadikan teras setiap dasar dalam membentuk sesebuah negara adil, sejahtera dan harmoni.

Ismail Sabri berkata sebagai pembuat dasar, kerajaan perlu memainkan peranan bersungguh-sungguh dalam menyusun atur langkah bagi menterjemahkan konsep kesejahteraan agar ia dapat meresap ke dalam jiwa seluruh Keluarga Malaysia.

Beliau juga berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) wajar dijadikan sebagai pusat rujukan oleh semua kementerian dan agensi untuk melaksanakan tadbir urus berasaskan Maqasid Syariah.

“Apa yang diharapkan ialah pendekatan Maqasid Syariah diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan dan dijadikan panduan atau kerangka dalam membangunkan dasar-dasar baharu sambil memperkasa yang sedia ada.

“Sekiranya dasar-dasar tersebut dilaksanakan dengan sebaiknya, dan kefahaman yang jelas diberikan kepada penjawat awam pada semua peringkat, saya optimis, kesejahteraan yang diimpikan mampu dijiwai oleh seluruh anggota ahli Keluarga Malaysia,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.