Bas Ulang-Alik Percuma, Tangani Masalah Kesesakan Di BSI

JOHOR BAHRU, 22 April – Kerajaan Johor menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik secara percuma bermula esok, bagi menangani masalah kesesakan yang berlaku di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata inisiatif itu bagi memudahkan orang ramai mengharungi kesesakan, di laluan jambatan pejalan kaki dari JB Sentral ke bangunan tersebut.

Katanya keputusan menyediakan perkhidmatan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas bersama pelbagai jabatan dan agensi hari ini, yang ditubuhkan bagi mengenal pasti masalah dan penyelesaian isu tersebut.

“Hasil mesyuarat memutuskan bahawa, kerajaan negeri akan memberi komitmen untuk menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik secara percuma bermula esok hingga 30 April ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau semalam

Onn Hafiz berkata bas ulang-alik itu akan mengambil penumpang di Jalan Tun Razak (City Square) dan di Jalan Jim Quee ke BSI dengan kekerapan setiap 10 minit, yang akan ditambah pada waktu puncak seperti hujung minggu dan cuti perayaan.

Beliau berkata kerja-kerja penambahbaikan eskalator dikenal pasti sebagai antara punca kesesakan di laluan berkenaan, yang dijangka selesai pada pertengahan Jun ini.

“Lif rosak yang tular baru-baru ini juga telah dibaiki dan beroperasi seperti biasa hari ini.

“Antara penyumbang lain kesesakan ini ialah perkhidmatan bas keluar masuk BSI yang terhad dan pihak operator bas hanya akan mula beroperasi 1 Mei, kerana menghadapi sedikit masalah disebabkan pandemik COVID-19,” katanya.

Onn Hafiz berharap langkah yang diambil kerajaan negeri itu dapat mengurangkan masalah kesesakan, sekali gus memberikan keselesaan kepada pengguna.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kesesakan di BSI, memaparkan orang ramai khususnya yang bekerja di Singapura beratur panjang sehingga ke luar bangunan tersebut, susulan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.