UMNO Kelantan Desak Pas Beri Penjelasan- Ahmad Jazlan

KUALA LUMPUR, 21 April – UMNO Kelantan mendesak Pas memberi penjelasan di atas isu pendedahan beberapa dokumen tular yang dikatakan tercatat di dalam Laporan Political Engagement PAS Pusat.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata pendedahan ini menunjukkan adanya campur tangan dalam kes rekaan yang sedang dihadapi oleh dua pemimpin utama UMNO sekaligus akan memberi gambaran bahawa Pas dan PPBM berniat jahat dengan mencampuri sistem perundangan negara dengan cara yang kotor.

Jazlan Yaakub“Kami amat terkejut terhadap beberapa isi kandungan laporan itu yang mana di antaranya menyebut untuk memastikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dikenakan hukuman penjara dengan mempercepatkan perbicaraan mereka.

“Kandungan lain juga ada menunjukkan rancangan untuk mengenakan tuduhan ke atas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi mengaitkan dengan gelaran ‘Kluster Mahkamah’,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan sekiranya perkara ini tidak benar, Pas Pusat perlu segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan tuntas dijalankan kerana ianya melibatkan nama baik Institusi Kehakiman dan Perundangan negara yang perlu dipertahankan.

“Namun sekiranya pendedahan ini benar, ianya satu perkara yang amat memalukan negara apabila suatu komplot pemusnahan karekter (characters’ assasination) jahat dan kotor dibuat oleh gabungan Perikatan Nasional (PN) di dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.